Kehidupan Selepas Kematian dalam Pandangan Orang Mesir Purba

Kepercayaan mereka bertumpu kepada pelbagai upacara rumit yang dipengaruhi oleh kebudayaan Mesir itu sendiri. Agama menjadi penyumbang utama kepada upacara kematian kerana ia merupakan amalan kemasyarakatan yang mengikat semua orang Mesir bersama. Sebagai contoh, ramai dewata Mesir memainkan peranan dalam memandu roh si mati untuk melintasi alam akhirat. Dengan perkembangan sistem tulisan, buah fikiran keagamaan dapat dicatatkan dan berkembang dengan segera ke seluruh peringkat masyarakat Mesir. Pengukuhan dan kesinambungan doktrin ini dibentuk selepas penghasilan sastera akhirat yang menggambarkan dan menjelaskan mengenai perkara yang harus diketahui oleh si mati dalam usaha untuk melalui perjalanan yang selamat.

Doktrin keagamaan orang Mesir termasuklah tiga ideologi berkenaan akhirat iaitu:

  • kewujudan dunia bawah;
  • kehidupan yang abadi; dan
  • penjelmaan semula roh.
Dunia bawah dikenali juga sebagai Duat dalam bahasa Qibti. Ia mempunyai hanya satu sahaja pintu dan boleh dimasuki dengan mengembara menerusi kubur si mati. Perkara pertama yang akan dipersembah kepada roh semasa ia memasuki alam ini adalah satu lorong yang dibarisi oleh patung-patung yang menarik termasuklah patung Horus, dewa berkepala helang. Jalan yang diambil untuk masuk ke dunia bawah juga berbeza antara raja dan orang awam. Selepas kemasukan, roh akan dipersembahkan kepada Osiris yang akan menentukan baik buruk roh tersebut. Seterusnya, Osiris akan menentukan sama ada roh tersebut akan mencapai kehidupan akhirat yang aman atau tidak. Konsep kehidupan abadi orang Mesir selalunya dilihat sebagai penjelmaan semula. Oleh itu, roh yang hidup dengan bijaksana maka ia akan dipandu oleh Osiris untuk menjelma semula.
 
Dalam usaha untuk mencapai kehidupan akhirat yang sempurna, banyak amalan yang perlu diamalkan semasa seseorang itu masih hidup. Hal ini termasuklah melakukan amalan yang bersesuaian dan mengikut kepercayaan Mesir itu sendiri. Selanjutnya, penduduk Mesir menekankan supaya upacara diselesaikan selepas kehidupan seseorang itu berakhir. Dalam kata lain, menjadi tanggungjawab mereka yang masih hidup untuk meneruskan tradisi akhir yang diperlukan supaya si mati boleh segera menerima nasib terakhir mereka. Akhir sekali, pematuhan kepada pelbagai tradisi boleh memastikan bahawa si mati berpindah masuk ke dunia bawah dengan lancar.