Masyarakat Mesir purba berpandangan bahawa proses pengadilan si mati membolehkan dewata mereka menghakimi kelayakan roh si mati untuk melepasi alam akhirat. Berakar umbi dari kepercayaan orang Mesir purba itu sendiri terhadap keabadian maka proses pengadilan ini menjadi salah satu bahagian terpenting dalam perjalanan si mati merentasi alam akhirat.
Oleh itu, muncul pelbagai babak pengadilan dalam sastera akhirat masyarakat Mesir. Setiap roh yang memasuki alam akhirat akan diuruskan secara seorang demi seorang di pengadilan. Apabila si mati menamatkan perjalanannya merentasi alam bawah, maka dia akan tiba di Dewan Maat. Di situ, kemurniannya akan menjadi faktor pendorong sama ada mereka dibenarkan atau dihalang daripada memasuki Kerajaan Osiris.
Tugas pertama si mati adalah memanggil nama Penilai Maat yang berjumlah 42 orang semuanya dengan betul ketika proses mengakui dosa-dosa yang mereka telah lakukan semasa masih hidup. Proses ini membolehkan si mati menunjukkan bahawa dia mengetahui nama para Ren atau hakim dan membuktikan bahawa jiwanya itu adalah murni serta suci dari dosa. Selepas mengesahkan bahawa dia tidak berdosa maka dia akan dibawa ke penimbang yang digunakan untuk menimbang hatinya dengan bulu pelepah Maat. Anubis selalunya dilihat sebagai dewa yang menjalankan ujian ini. Jika hati si mati itu setara dengan pelepah Maat, maka Thoth akan merekodkan keputusan dan si mati akan dipersembahkan kepada Osiris. Osiris akan memasukkan mereka ke Sekhet-Aaru. Walau bagaimanapun, jika hati si mati lebih berat daripada bulu pelepah tersebut maka dia akan dimamah oleh dewi Ammit dan tindakan dewi ini akan memusnahkan terus roh si mati.