Perjalanan ke Akhirat

 

Masyarakat Mesir purba berteori bahawa laluan ke alam akhirat itu bertahap-tahap. Tahap yang pertama dipercayai melibatkan kenderaan untuk pengangkutan roh yang akhirnya akan memandu roh mereka yang sudah mati ke alam abadi.

Setiap orang itu tertakluk kepada pelbagai tahap namun laluan perjalanan mereka itu tidak boleh dipilih oleh mereka. Ia didasarkan kepada kedudukan mereka dalam masyarakat sendiri. Aspek yang sejagatnya mempengaruhi laluan mereka selepas kematian adalah kedudukan mereka dalam kalangan pemimpin mereka. Walaupun terdapat perbezaan dalam pelayaran mereka, namun kepercayaan berkenaan alam akhirat mereka sangat berkaitan dengan ideologi agama mereka. Sebagai contoh, manusia zaman awal sering menggunakan agama dan mengaitkan kejadian alam semulajadi dengannya kerana ilmu sains masih belum lagi dapat mendefinisikan insiden yang berlaku dalam kehidupan harian ketika itu. Bagi memberikan penjelasan untuk perkara yang tidak dapat disahkan benar contohnya seperti orbit matahari, maka mitos keagamaan digunakan untuk menjawab persoalan orang zaman purba. Di samping kejadian alam semulajadi dijelaskan menggunakan kepercayaan agama, kepercayaan mengenai alam lain juga dijelaskan dengan menggunakan corak alam semulajadi dan kehidupan. Selanjutnya, ideologi umum yang dikaitkan dengan perjalanan ke alam kubur dipercayai berlangsung apabila malam menyelubungi tanah dan perjalanan si mati pun bermula. Apabila sinar matahari menyingsing menandakan hari baru bermula maka kehidupan yang baru pun difikirkan bermula oleh orang zaman purba.

Laluan perahu ke dunia bawah hanya dikhaskan untuk fir'aun yang mangkat. Dewa Ra, dewa matahari Mesir dipercayai mengembara ke alam bawah dengan perahu ketika matahari terbenam. Sebagai mencontohi perjalanan harian dewa Ra ini, maka penduduk Mesir purba pun membina perahu dalam pelbagai ukuran yang digunakan untuk pengebumian fir'aun mereka. Sebagai contoh, pengkaji purba menemui perahu Khufu di sebelah Piramid Khufu. Ukuran perahu tersebut adalah ukuran tradisional yang memaparkan kebaktian masyarakat Mesir purba kepada pemimpin mereka. Mereka terdorong untuk mendapatkan keabadian bagi segala perkara dalam kehidupan mereka. Dalam lain perkataan, keperluan si mati untuk mencapai alam bawah tertanggung di pundak mereka yang masih hidup. Bagi memastikan fir'aun sampai ke tujuan terakhirnya maka rakyat baginda membina pelbagai jenis perahu supaya baginda dapat berlepas dengan selamat ke alam akhirat. Kesannya, rakyat bersatu padu dalam mencapai usaha ini kerana mereka percaya kepada keabadian. Oleh itu, mereka komited dan bergotong-royong dalam mencapai keabadian yang menjadi tunjang utama dalam kebudayaan dan ketamadunan mereka.

Sebagai tambahan, wahana lain untuk mencapai ke alam lain seperti keranda juga digunakan. Kerabat diraja boleh memilih untuk menggunakan perahu atau keranda supaya sampai ke alam akhirat namun rakyat tidak mempunyai pilihan selain daripada menggunakan keranda. Kaedah pengebumian dengan keranda ini adalah lebih meluas dan sejagat dalam tamadun Mesir purba. Sebagai perbandingannya, perjalanan ke alam akhirat menggunakan perahu akan membawa si mati kepada dewa Ra. Sedangkan, perjalanan ke alam akhirat menggunakan keranda pula akan memandu si mati kepada dewi Nut. Setiap keranda itu mempunyai ciri yang khas berkaitan dengan si mati yang berada di dalamnya. Setiap keranda itu tertakluk kepada penafsiran yang pelbagai yang bermatlamat supaya si mati itu mencapai keabadian di alam akhirat.

Walau bagaimanapun, tidak semua mereka yang mati itu mempunyai peluang untuk mengembara ke dunia bawah. Oleh kerana nasib si mati itu bergantung kepada mereka yang masih hidup, maka mereka yang masih hidup juga mampu menghalang perjalanan si mati mencapai keabadian di alam akhirat. Oleh itu, mereka yang masih hidup berpeluang untuk menghalang peluang kedua si mati yang tidak selayaknya menerima keabadian selepas kematian dengan pelbagai cara seperti memotong anggota badan si mati dengan maksud, "membunuh seseorang itu kali kedua". Kesannya, kematian kedua yang dikaitkan dengan pemotongan anggota badan mayat itu dianggap sebagai satu kaedah untuk menghapuskan peluang si mati di alam akhirat. Dalam sastera Mesir, keadaan ini sangatlah ditakuti oleh semua orang namun ia selalu berlaku kepada mereka yang memberontak atau melawan fir'aun.

Rujukan:

  • Life After Death, Egyptian Civilization, Mysteries of Egypt, Canadian Museum of History