Pintu Palsu di Makam Wazir Mereruka dari abad ke-24 SM |
Terdapat banyak sekali cabaran yang harus dilalui oleh si mati sebelum mereka boleh memasuki tahap akhir dunia kematian. Walau bagaimanapun, melalui sokongan mereka yang masih hidup maka si mati pun mendapat perlindungan dan pengetahuan bahawa mereka harus menjelma semula di alam kubur.
Kuburan
Rekabentuk dan skala kubur Mesir berbeza-beza mengikut zaman walaupun fungsinya masih lagi sama dan tidak berubah. Kubur Mesir mula dibina pada masa seseorang itu masih lagi hidup walaupun ia akan digunakan untuk merumahkan mayatnya selepas mati. Ia berfungsi untuk memindahkan rohnya ke alam bawah. Kebanyakan barangan yang ditemui dalam kubur itu bergantung kepada status orang yang disimpan di dalamnya. Bagi membantu si mati, kebanyakan kubur dihiasi dengan sastera agama atau ayat suci bagi memandu mereka masuk ke alam akhirat.
Sastera Akhirat
Berabad-abad lamanya, orang Mesir menghiasi kubur dan keranda dengan ayat suci serta berharap supaya si mati mendapat panduan bagi berpindah alam ke alam akhirat. Ayat-ayat suci tersebut menjadi semakin rumit dan panjang apabila kebudayaan Mesir mula berkembang pesat.
Ayat suci pada piramid menjadi ayat suci pertama yang diukir pada dinding piramid kerabat diraja Mesir purba. Pada permulaan zaman Kerajaan Lama, ayat-ayat suci ini digunakan secara eksklusif oleh para firaun bagi menghiasi kubur mereka. Walau bagaimanapun, permaisuri Mesir dan pegawai kerajaan berpangkat tinggi seterusnya juga mula menggunakan ayat suci piramid di tapak pengebumian mereka. Tujuan ayat suci yang diukir pada piramid ini adalah untuk membantu firaun melalui perjalanan dengan jayanya masuk ke alam akhirat. Ayat-ayat tersebut mengandungi pesanan berkenaan jalan yang harus dilalui oleh si mati dan bahaya yang akan ditempuhi oleh rohnya.
Ayat Suci pada Keranda
Pada zaman Kerajaan Pertengahan, ayat suci yang diukir pada piramid ini mula digantikan dengan ayat suci yang dilukiskan pada keranda pula. Ia bertujuan untuk melindungi si mati di alam akhirat dan membantu mereka dengan kuasa ajaib yang diperlukan semasa mereka berada dalam perjalanan. Kaedah ini lebih mudah untuk diamalkan oleh orang awam di Mesir dan mereka pun mendapat peluang untuk mendapat kehidupan akhirat yang lebih baik. Penting juga untuk diambil maklum bahawa himpunan ayat suci pada keranda yang dikenali sebagai Kitab Dua Hala ini berfungsi sebagai manual terawal sekali untuk memandu roh si mati ke alam akhirat.
Kitab Kematian
Kitab Kematian ini adalah himpunan ayat suci yang panjang lebar mengandungi himpunan ayat suci yang digunakan pada piramid dan keranda. Dalam zaman Kerajaan Baru, Kitab Kematian selalunya direkodkan pada daun papyrus. Walau bagaimanapun, ia turut ditemui pada dinding kubur, keranda dan kain pembungkus mumia. Seperti juga ayat suci pada keranda, ayat suci yang terdapat dalam Kitab Kematian ini digunakan oleh semua orang di Mesir. Ayat-ayat suci tersebut memaparkan nasihat, perlindungan dan pengetahuan berguna kepada roh si mati dalam menempuhi perjalanan menuju ke dunia bawah.
Kitab Alam Kubur
Kitab-kitab mengenai Alam Kubur mengandungi pelbagai ayat yang membekalkan si mati dengan penerangan mengenai dunia bawah dan menjadi panduan yang membantu si mati dalam perjalanan mereka. Disebabkan mereka yang sudah mati dilihat sebagai mengulangi putaran kelahiran Ra ketika mereka mengembara merentasi alam akhirat maka kitab ini memberi tumpuan kepada separuh penggal kedua perjalanan dewa Ra, dewa matahari memasuki alam bawah atau alam kubur pada waktu malam. Kitab Alam Kubur yang terawal mengandungi Amduat dan Kitab Gerbang yang terbahagi kepada 12 bahagian melambangkan 12 jam dewa matahari berada dalam alam kubur. Kemudian, Kitab Gua dan Kitab Bumi yang menggunakan pendekatan berpenggal apabila menyampaikan riwayat. Setiap kitab ini mengandungi gambaran rumit mengenai alam kubur yang selalu digores pada keranda si mati atau dinding kubur si mati.
Kitab Samawi
Kitab Samawi mengandungi tiga kitab mengenai alam akhirat iaitu Kitab Nut, Kitab Siang dan Kitab Malam. Ia diukirkan di lelangit kubur yang melambangkan peranan dewi Nut dalam kehidupan selepas kematian.
Keranda
Penggunaan keranda dalam kebudayaan Mesir boleh dikesan wujud sejak zaman Kerajaan Lama. Semasa zaman itu, keranda mereka ringkas sahaja. Ia berbentuk segitiga sama sisi dengan butiran hiasan yang sedikit sahaja. Ia mengandungi tiga bukaan. Satu bukaan adalah untuk Ka mengalir keluar dan dua lagi mewakili mata. Walau bagaimanapun, zaman demi zaman struktur binaan keranda mula berubah. Menjelang zaman Kerajaan Baru, keranda bukan sahaja menjadi terkenal malah ia dijual dan menjadi mata pencarian pula bagi pembuat keranda. Mayat akan diwakili oleh keranda kerana keranda dibentuk mengikut rupa si mati dan dihiasi dengan ciri-ciri si mati di dalamnya.
Si mati juga digambarkan berpakaian putih kerana warna putih melambangkan kemurnian roh selepas ia melepasi pengadilan di Dewan Maat. Selanjutnya, arah si mati menghadap sangatlah penting bagi penduduk Mesir zaman purba. Mayat akan dibaringkan mengiring dengan kepalanya dihalakan ke selatan. Keadaan ini kemudian berubah pula apabila mereka membaringkan mayat dengan muka menghadap ke langit dan kepala mayat dihalakan ke utara.
Amalan Pemumiaan
Mumia Mesir dari Muzium Louvre |
Pemumiaan merupakan amalan yang digunapakai oleh orang Mesir purba kerana mereka mempercayai bahawa mayat haruslah dipelihara dari reput. Mereka percaya bahawa roh akan dikembalikan ke jasad selepas ia masuk ke alam akhirat. Pada awalnya, orang Mesir purba berpandangan bahawa jasad seperti juga dewa Ra atau dewa Khat akan dibangkitkan semula selepas selesai perjalanan melalui alam kubur. Namun, apabila orang Mesir menyedari bahawa jasad si mati akan mereput maka mereka mula melihat mayat itu sebagai bekas yang menampung roh si mati. Mayat akan dibongkar dan dibalut dalam balutan putih bagi melindunginya supaya roh dapat kembali semula ke jasad jika ia berkeputusan untuk kembali semula.
Persembahan dalam Pengebumian
Kebanyakan orang Mesir zaman purba melihat kubur sebagai tempat tinggal si mati. Oleh itu, menjadi adat-istiadat mereka untuk meninggalkan persembahan berdekatan dengan jasad si mati. Orang Mesir purba mempercayai bahawa selepas seseorang itu mati pun rohnya masih kerana tenaga hayat itu adalah sesuatu yang berbeza dengan jasad. Ia boleh tertanggal dari jasad. Tenaga hayat ini digelarkan sebagai Ka oleh mereka dan dianggap sebagai bahagian yang abadi dalam tubuh manusia. Ba pula adalah bahagian roh yang lain. Ia mempunyai tahap pergerakan yang tinggi dan bersemayam dalam Ka. Persembahan ditinggalkan untuk si mati ini termasuklah persalinan dan hiasan berharga. Walau bagaimanapun, persembahan yang penting sekali adalah sajian makanan kerana walaupun Ka terpisah daripada jasad namun ia masih lagi boleh mengalami kebuluran.