Punca kepada konflik Arab dan Israel ini berakar umbi dari ketegangan antara ideologi Zionisme dan nasionalisme Palestin. Rantau yang dianggap oleh orang Yahudi sebagai tanah air bersejarah mereka juga dianggap oleh ramai orang Arab sebagai hak milik orang Palestin. Rantau itu pernah dikuasai oleh empayar Turki Osmaniah selama 400 tahun hinggalah kepada pemisahannya selepas Pemberontakan Besar Arab semasa Perang Dunia I. Penghujung kekuasaan empayar Osmaniah ini menyaksikan orang Turki menekankan kepada ketuanan bangsa Turki dalam empayar Osmaniah sehingga mereka mendiskriminasi orang Arab. Janji ke arah pembebasan menyebabkan ramai orang Arab dan orang Yahudi menyokong kuasa berikat semasa Perang Dunia I hingga menimbulkan nasionalisme Arab secara meluas. Selain itu, nasionalisme Arab dan Zionisme juga mula berkembang di benua Eropah. Kongres Zionis misalnya bermula di Basel pada tahun 1897 dan Kelab Arab muncul di Paris pada tahun 1906.
Pada lewat abad ke-19, komuniti Yahudi mula berhijrah ke Palestin, membeli tanah dari tuan tanah Osmaniah. Pada lewat abad ke-19 masihi, populasi Palestin mencecah 600,000 orang yang kebanyakannya adalah orang Arab Muslim dengan minoriti yang agak besar dalam kalangan orang Yahudi, Kristian, Druz dan sedikit penganut Samaria dan Bahai. Pada ketika itu, Jerusalem masih belum melepasi kawasan bertembok dan mempunyai populasi beberapa puluh ribu orang sahaja. Kebun komuniti yang disebut sebagai kibbutzim dalam bahasa Ibrani diasaskan bersama dengan Tel Aviv, bandar yang dihuni sepenuhnya oleh warga Yahudi pertama sekali wujud di dunia moden.
Dalam tahun 1915 hingga 1916, Perang Dunia I sedang meletus. Pesuruhjaya Tinggi British di Mesir, Sir Henry McMahon secara rahsianya berutus surat dengan Husayn ibn Ali, penghulu bani Hashim dan gabenor Osmaniah di Mekah dan Madinah. MacMahon meyakinkan Husayn supaya mengetuai pemberontakan Arab menentang Turki Osmaniah yang ketika itu bekerjasama dengan Jerman untuk menentang Britain dan Perancis. McMahon menjanjikan bahawa jika orang Arab menyokong Britain dalam peperangan ini maka kerajaan British akan menyokong negara Arab yang merdeka daripada cengkaman empayar Turki Osmaniah dan meletakkannya di bawah pemerintahan bani Hashim. Wilayah Arab yang akan dijanjikan kepada bani Hashim itu antaranya termasuklah Palestin. Pemberontakan Arab yang diketuai oleh T. E. Lawrence atau Lawrence of Arabia dan Faisal ibn Husayn itu berjaya mengalahkan Turki Osmaniah. Britain mengambil peluang ini mengawal sebanyak mungkin kawasan yang pernah berada di bawah Turki Osmaniah itu.
- Konflik Agama di Palestin Bermandat
- Perang Saudara di Palestin Bermandat
- Sejarah Konflik Arab dan Yahudi
Sila klik pada tajuk-tajuk di atas bagi mengakses maklumat dalam bahasa Melayu versi Malaysia. Mohon cari sumber rujukan juga supaya maklumat ini tidak menjadi maklumat syok sendiri sahaja. Rujukan yang aku petik ini adalah yang umum dari Wikipedia. Jika ingin menggunakannya untuk tujuan akademik maka sumber yang sahih perlu dipetik dari buku-buku atau sumber akademik yang sah sahaja.