Tahun-Tahun Awal Mandat Palestin dan Perang Franco-Syria
Pada tahun 1917, Palestin ditawan oleh tentera British dan juga kumpulan tentera darat Yahudi. Kerajaan British mengeluarkan Perisytiharan Balfour yang menyatakan bahawa kerajaan memandang baik "pengasasan tanah air kebangsaan untuk orang Yahudi dalam Palestin" namun "tiada sesuatu apa pun yang menimbulkan prejudis kepada hak sivil dan keagamaan komuniti bukan Yahudi yang sedia ada tinggal di Palestin dibenarkan".
Perisytiharan ini adalah kesan daripada kepercayaan ahli utama dalam kerajaan British sendiri termasuklah David Lloyd George, Perdana Menteri Britain yang menganggap bahawa sokongan orang Yahudi itu penting untuk memenangi peperangan. Namun, Tom Segev (2000) dalam One Palestine, Complete menyebut bahawa perisytiharan ini menimbulkan rasa tidak puas hati dunia Arab. Selepas peperangan, kawasan yang berada dalam pemerintahan British dikenali sebagai Mandat British di Palestin. Kawasan yang dimandatkan kepada British dalam tahun 1923 ini termasuklah Israel Moden, Tebing Barat dan Genting Gaza. Transjordan akhirnya dipisahkan dan dijadikan sebagai negeri lindungan yang berasingan di bawah empayar British dan dikenali dengan nama Emiriyah Transjordan. Emiriyah Transjordan menerima status autonomi dalam tahun 1928 dan menerima kemerdekaan dari Britain dengan pengesahan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 1946. Hal ini menandakan berakhirnya zaman Mandat British.
Krisis terbesar dalam kalangan nasionalis Arab tercetus dengan kegagalan pengasasan Kerajaan Arab Syria pada tahun 1920. Berikutan kekalahan bani Hashim dalam perang Franco-Syria di Damascus, mereka terpaksa melarikan diri ke kawasan Mandat Iraq. Krisis ini pertamanya menyaksikan konfrontasi tentera Arab dan Yahudi dalam Perang Tel Hai pada Mac 1920. Apa yang lebih penting lagi, kejatuhan kerajaan Pan-Arab ini menimbulkan pula semangat nasionalisme Arab yang diberikan perencah Palestin dengan kembalinya Amin al-Husseini dari Damsyik ke Jerusalem pada lewat tahun 1920.
Penghijrahan orang Yahudi ke Palestin Bermandat berterusan diikuti juga dengan penghijrahan dari sektor Arab yang kurang didokumentasikan, kepulangan pekerja dari Syria dan kawasan-kawasan lain. Warga Palestin menganggap kemasukan pantas penghijrah Yahudi ini menggugat tanah air dan identiti mereka. Ann M. Lesch dan Dan Tschirgi dalam Origins and Development of the Arab-Israel Conflict (1998) menyebut bahawa dasar Yahudi membeli tanah dan melarang pengambilan pekerja Arab dalam industri yang dimiliki orang Yahudi serta kebun mereka turut menimbulkan kemarahan komuniti Palestin. Tunjuk perasaan diadakan seawal tahun 1920 membantah layanan yang tidak adil terhadap orang Arab dan dasar orang Yahudi yang memberi muka kepada penghijrah Yahudi dari luar di Mandat British. Dalam tahun yang sama juga keganasan tercetus. Winston Churchill, Perdana Menteri Britain dalam Kertas Putih nya pada tahun 1922 cuba meyakinkan populasi Arab bahawa pembentukan negara Yahudi bukan implikasi dari Perisytiharan Balfour.
Rusuhan Tahun 1929
Pada tahun 1929, selepas tunjuk perasaan oleh kumpulan politik Betar yang dipimpin oleh Vladimir Jabotinsky di Tembok Barat, rusuhan pun bermula di Jerusalem sehingga merebak di seluruh Palestin Bermandat. Orang Arab membunuh seramai 67 orang Yahudi di Hebron dalam Pembantaian Hebron. Dalam minggu rusuhan itu juga, seramai 116 orang Arab dan 133 orang Yahudi terbunuh. Manakala seramai 339 orang lagi tercedera.
Tahun 1930an dan 1940an
Menjelang tahun 1931, sebanyak 71 peratus daripada populasi dalam Palestin Bermandat ialah orang Yahudi. Jumlah penduduk Yahudi ini meningka sebanyak enam peratus sejak tahun 1922. Penghijrahan orang Yahudi memuncak pantas sekali selepas Nazi berkuasa di Jerman menjadikan jumlah penduduk Yahudi di Palestin meningkat dua kali ganda.
Pada pertengahan tahun 1930an, Izz ad-Din al-Qassam tiba dari Syria dan mengasaskan Tangan Hitam, organisasi militan yang anti Zionis dan anti British. Dia merekrut dan menyusun latihan ketenteraan untuk petani dan menjelang tahun 1935, dia mengumpulkan seramai 200 hingga 800 orang lelaki. Bilik-bilik dilengkapi dengan bom dan senjata api yang digunakan untuk membunuh pendatang Yahudi dalam kawasan itu serta dalam kempen merosakkan ladang-ladang pendatang Yahudi. Menjelang tahun 1936, ketegangan memuncak sehingga mencetuskan Pemberontakan Arab 1936 - 1939 di Palestin.
Sebagai tindak balas daripada tekanan orang Arab itu, pihak berkuasa Mandat British di Palestin mengurangkan jumlah pendatang Yahudi di Palestin (lihat White Paper 1939 dan SS Exodus). Sekatan ini berlangsung hingga ke akhir zaman mandat yang bertepatan dengan peristiwa Holokaus Nazi serta kemasukan pelarian Yahudi dari Eropah. Susulan itu, kebanyakan pendatang Yahudi yang masuk ke Palestin Bermandat dianggap sebagai pendatang haram (lihat Aliyah Bet) dan ketegangan meningkat.
Berikutan kegagalan beberapa percubaan diplomatik untuk menyelesaikan masalah, pihak British meminta bantuan dari PBB. Pada 15 Mei 1947, Perhimpunan Agung melantik satu jawatankuasa, UNSCOP, yang terdiri daripada wakil 11 negara. Amerika Syarikat, Kesatuan Soviet Russia dan lain-lain negara kuasa besar tidak diwakili. Selepas lima minggu penyelidikan dalam lapangan, jawatankuasa itu menawarkan pelan majoriti dan pelan minoriti. Pelan majoriti mencadangkan satu Pelan Pemisahan dengan Kesatuan Ekonomi. Manakala pelan minoriti mencadangkan Negara Palestin yang Merdeka. Dengan sedikit pindaan, pelan majoriti diterima pakai dalam resolusi 181(II) pada 29 November 1947. Resolusi itu diterima pakai dengan 33 undi kepada 13 dengan 10 undi berkecuali. Kesemua enam negara Arab yang menjadi ahli PBB mengundi tidak. Di lapangan pula, orang Arab Palestin dan orang Yahudi Palestin berebut untuk mengawal kedudukan strategik dalam rantau itu. Kekejaman besar-besaran dilakukan oleh kedua-dua pihak Arab dan Yahudi.