Tanah Arab adalah merupakan titik pertembungan antara ketamadunan Arab dengan agama Islam. Pada abad ke-6 M merupakan rantau yang terlibat dalam kegiatan pertanian tetap dan komersil terutamanya di sebelah selatan meliputi Yaman pada zaman moden dan juga sempadan Syria serta Iraq. Walau bagaimanapun, kawasan hulunya yang gersang menjadi tempat kediaman suku kaum badwi iaitu orang Arab asli yang mengembala unta dan saling berpindah-randah.
Orang badwi ini merupakan penganut agama polytheisme yang mempercayai banyak tuhan. Walau bagaimanapun, tuhan mereka itu tidak mengambil rupa manusia atau rupa haiwan. Sebaliknya tuhan sembahan mereka itu tidak mempunyai rupa lalu mereka mengaitkannya dengan ciri alam sekitar di sekeliling mereka seperti tempat yang memberikan keselesaan atau tempat berteduh seperti gua atau lopak berair. Tuhan-tuhan mereka juga berdiam di langit. Sebagai tambahan juga, mereka mempercayai kewujudan semangat atau makhluk halus yang disebut sebagai jin. Jin ini boleh jadi baik atau jahat serta mengambil rupa haiwan dalam dunia manusia.
Sosio-Politik Puak Arab
Masyarakat Arab pra-Islam disusun mengikut susunan puak dan suku-kaum. Banyak sekali pertelingkahan berlaku dalam kalangan pelbagai puak Arab di Semenanjung Tanah Arab. Kebanyakan pertelingkahan mereka itu melibatkan air dan kawasan merumput ternakan mereka.
Dari segi kebudayaan, masyarakat Arab sangat bergantung kepada syair dalam kehidupan seharian mereka. Syair ini menjadi wadah berita, hiburan dan pelajaran sejarah buat mereka. Semenanjung Tanah Arab dikelilingi oleh dua tamadun yang sudah pun maju iaitu empayar Romawi dan empayar Parsi yang sering berperang sesama sendiri. Walaupun Semenanjung Tanah Arab berada di kawasan hulu jauh dari perebutan kuasa besar ketika itu, namun mereka juga menyedari mengenai teknik peperangan, persenjataan, bahan-bahan dagangan, doktrin monotheisme yang terbit dari penempatan manusia lain yang merebak ke situ, pengkhutbah yang mengembara dan berhubung dengan penduduk di sempadan yang sudah menganuti agama yang tersusun seperti agama Nasrani dan agama Yahudi.
Menjelang abad ke-7 M, komuniti Arab yang termaju sekali berada di wadi Mekah dan di kota Madinah. Kota Mekah diwartakan sebagai suci sejak abad ke-5 M lagi oleh puak Quraisy dari keturunan Hashim. Kaabah menjadi tempat keramat, pusat berziarah dan pusat perdagangan dalam kalangan orang Arab yang pagan, penganut agama Nasrani dan orang Yahudi. Tapak tempat keramat tersebut diperbuat dari batu meteor hitam dan didirikan pula satu struktur seperti kabinet empat segi di atasnya yang menurut sesetengah lagenda dikaitkan dengan nabi Ibrahim a.s yang berasal dari tamadun Mesopotamia di Iraq.
Kaabah menyanggarkan beberapa berhala yang dikaitkan dengan penunggu tempatan di kota Mekah seperti dewa Hubal. Terdapat juga perkaitan dengan Allah yang menjadi Tuhan kepada dewa-dewa dan manusia. Allah juga merupakan rujukan kepada Tuhan oleh penganut agama Nasrani dan orang Yahudi yang berbahasa Arab. Kaabah dan telaga zamzam dalam perkarangan kawasan suci itu menjana ekonomi warga Mekah dan menggalakkan kemunculan industri perkhidmatan seperti makanan, rumah tumpangan dan pakaian penziarah di situ. Kota Madinah yang terletak kira-kira 200 km ke utara kota Mekah pula menjadi kawasan wadi pertanian. Penduduk dalam kalangan bangsa Arab pagan dan bangsa Yahudi sering bersengketa di situ disebabkan oleh isu ekonomi dan politik.