Sebelum kebangkitan nabi Muhammad s.a.w di Tanah Arab, wujud pelbagai jenis kepercayaan seperti:
- Wathani, kepercayaan tempatan
- Nasrani, bertumpu kepada tokoh Isa a.s
- Yahudi, bertumpu kepada nabi-nabi keturunan Ibrani
- Agama-agama Parsi, dipelopori oleh orang Parsi
Kepercayaan tempatan di Tanah Arab sangatlah terkenal sehingga ke pantai
Lebanon dan ke utara Semenanjung Tanah Arab. Ia berasaskan kepada
penyembahan kepada dewata dan lain-lain upacara. Dewa dan dewi yang
terkenal termasuklah dewa Hubal, dewi al-Lāt, dewi al-'Uzza dan dewi
Manāt. Dewa dan dewi ini dipuja di pusat-pusat pemujaan tempatan
termasuklah di Kaabah dalam kota Mekah.
Sesetengah cendekiawan Barat membuat spekulasi bahawa Allah itu
berkemungkinan adalah salah satu dewata yang wujud dalam agama orang
Mekah dan mereka percaya bahawa kuil yang terdapat di Mekah itu
diperbuat untuknya walaupun kelihatan seperti tiada fungsi dalam agama
orang Mekah. Banyak daripada penjelasan berbentuk jasadi mengenai dewata
sebelum kebangkitan nabi Muhammad s.a.w bolehlah dikesan datang dari
berhala-berhala. Terutamanya berhala-berhala yang berada berdekatan
dengan Kaabah yang didakwa mengandungi hampir 360 buah berhala. Hampir
menyamai bilangan hari dalam setahun.
Agama-agama yang lain diwakili oleh sebilangan kecil masyarakat di situ
mengikut komuniti mereka yang tersendiri. Pengaruh-pengaruh dari
empayar-empayar ketika itu seperti empayar Romawi, empayar Aksum dari
Habsyah dan empayar Sassan dari Persia menyebabkan wujudnya masyarakat
Nasrani berbahasa Arab dan lain-lain di sebelah barat daya, timur laut
dan selatan Tanah Arab. Agama Nasrani kurang memberi kesan kepada
masyarakat di Tanah Arab, namun masih terdapat sebilangan kecil
masyarakat yang menganuti ajaran agama tersebut. Dengan pengecualian
kepada agama Nasrani aliran Nastura di sebelah timur laut dan Teluk
Parsi, bentuk pemahaman ajaran Nasrani di Tanah Arab adalah jenis
Monofisitisme.
Tanah Arab turut menjadi tempat pelarian bagi masyarakat Yahudi dari
empayar Romawi sejak zaman nabi Isa a.s lagi. Keadaan ini menyebabkan
munculnya diaspora masyarakat Yahudi di Tanah Arab selain daripada
masyarakat Arab tempatan turut menganuti agama tersebut menerusi kahwin
campur dan sebagainya.
Sebagai tambahan, pengaruh empayar Parsi turut menyebabkan agama orang
Parsi dianuti oleh sebilangan masyarakat Arab. Ajaran Zoroaster wujud di
sebelah timur dan selatan Tanah Arab. Selain itu, aliran agama orang
Parsi seperti ajaran Mani atau kemungkinannya ajaran Mazdak pun turut
pernah diamalkan di kota Mekah.