Sil'a

Sil'at dalam bahasa Arab bermaksud nenek kebayan atau wanita tua yang hodoh rupanya. Ia adalah semangat atau makhluk halus yang berbahaya dan boleh dikesan perkaitannya dengan bangsa jin dalam kelompok ghoul menurut sumber penglipurlara orang Arab.

Semangat-semangat ini dikelaskan sebagai salah satu daripada golongan jin yang jahat. Mereka ini digambarkan sebagai hantu yang boleh berubah rupa yang selalu muncul dalam rupa wanita manusia. Selain berubah rupa menjadi manusia, mereka juga boleh berubah rupa menjadi haiwan kacukan.

Kononnya, makhluk ini hidup di kawasan gurun padang pasir yang terpencil di mana mereka menyesatkan kafilah perdagangan, pengembara dan orang badwi sehingga menyebabkan mereka mati. Selain itu, mereka dikatakan menggoda dan mengahwini lelaki manusia lalu melahirkan anak hasil hubungan mereka dengan lelaki manusia.

Sil'at ini selalunya berjantina betina dan boleh berhubungan jenis. Ia adalah sejenis bangsa jin yang mempunyai kuasa ajaib serta terdapat juga dalam kelompok mereka itu yang berjantina jantan dikenali sebagai ghoul.

Banu Sil'at

Dalam rantau orang Arab sebelum kemunculan agama Islam, kononnya terdapat kejadian di mana seorang lelaki itu jatuh cinta dengan sil'at dan berhubungan jenis dengan mereka lalu jin tersebut melahirkan anak. Anak mereka itu dikenali sebagai banu sil'at atau anak-anak sil'at.

Terdapat khabar angin menyatakan bahawa populasi bangsa Arab itu terhasil dari keturun anak-anak Amr bin Yarbu yang berketurunan kacukan dengan jin sil'at. Ibu mereka yang berbangsa jin itu dikatakan meninggalkan keluarga selepas melihat cahaya kilat di langit yang ditafsirkan sebagai tanda supaya kembali semula kepada puaknya.

Mahmud Shukri al-Alusi, seorang sejarawan Iraq menyatakan bahawa bangsa Arab merujuk kepada sil'at ini sebagai wanita-wanita yang ramping, cerdik, berkuasa dan sering-kali dituduh sebagai penggoda yang tidak setia.