Sejarah Mesopotamia

Zaman prasejarah di Timur Dekat Purba bermula di zaman Paleolitik Bawah. Di situ jugalah muncul sistem tulisan piktografi atau tulisan bergambar, tulisan pepaku purba, dalam zaman Uruk IV (c. abad ke-4 SM). Rekod yang didokumenkan mengenai kejadian sejarah sebenar dan sejarah purba Mesopotamia selatan bermula pada awal abad ketiga sebelum masehi dengan rekod tulisan pepaku raja-raja dinasti awal. Keseluruhan sejarah ini berakhir dengan sama ada ketibaan Empayar Akhemani pada lewat abad ke-6 SM atau dengan penaklukan Muslim serta pengasasan kekhalifahan Islam pada lewat abad ke-7 masihi yang dari titik ini Mesopotamia mula dikenali sebagai Iraq. Dalam jangka masa panjang zaman ini, Mesopotamia menjadi perumah untuk beberapa negara purba yang sangat maju serta kompleks sistem sosialnya.

  • Tahap Perkembangan Sejarah Mesopotamia

Selain itu, Mesopotamia menjadi salah satu daripada empat tamadun yang bersungai di mana sistem tulisan dicipta bersama dengan Tamadun Lembangan Sungai Nil di Mesir Purba, Tamadun Indus di benua kecil India, dan Tamadun Sungai Kuning di China Purba. Mesopotamia menjadi rantau yang menyaksikan kemunculan negara-kota penting seperti Uruk, Nippur, Nineveh, Assur dan Babilon serta negeri utama seperti Kota Eridu, kerajaan-kerajaan Akkad, Dinasti Ketiga Kota Ur, dan pelbagai Empayar Assyria. Sesetengah pemimpin Mesopotamia yang penting dalam sejarah adalah seperti Ur-Nammu, raja di Kota Ur; Sargon dari Akkad yang mengasaskan Empayar Akkad; Hammurabi, pengasas negara Babilon Tua; Ashur-uballit I dan Tiglath-Pileser I yang mengasaskan Empayar Assyria.

Dalam pada itu, saintis menganalisa DNA dari peninggalan petani awal yang berusia 8,000 tahun yang ditemui di tanah perkuburan purba di Jerman. Mereka membandingkan petanda genetik mereka itu dengan populasi moden dan menemui persamaannya dengan DNA penduduk yang tinggal di Turki serta Iraq moden.