A. Kesusasteraan Jahiliah
Kesusasteraan jahiliah adalah kesusasteraan Arab sebelum zaman Islam. Jahiliah bermaksud jahil atau bodoh. Pada zaman sebelum Islam, pasar seperti Ukaz, Majanna dan Dhul Majaz menjadi tempat perkumpulan kafilah dari seluruh Semenanjung Tanah Arab. Ahli kafilah tersebut akan membacakan syair dan loghat bahasa Arab Quraisy, puak Arab yang mengawal Pasar Ukaz di Mekah menjadi terkenal.
Penyair zaman sebelum Islam yang terkenal sekali antaranya adalah Abu Laila al-Muhalhel dan al-Shanfara. Mereka ini adalah penyair Mu'allaqat atau yang "yang digantung" kerana syair mereka akan digantungkan di Mekah untuk dipamerkan kepada awam. Penyair Mu'allaqat yang lain adalah seperti Imru' al-Qais, Tarafah ibn al-'Abd, Abid ibn al-Abrass, Harith ibn Hilliza, Amr ibn Kulthum, Zuhair ibn Abi Sulma, al-Nabigha al-Dhubiyani, Antara ibn Shaddad, al-A'sha al-Akbar dan Labid ibn Rabi'ah.
Al-Khansa, seorang penyair wanita terkenal dalam syair jenis ritha' atau syair kesedihan akibat kehilangan. Al-Hutay'a terkenal dengan madih atau syair jenis pujian dan hija' atau syair memerli.
Oleh kerana kesusasteraan zaman jahiliah ini disebarkan secara lisan dan tidak bertulis maka kesusasteraan jenis prosa jarang sekali diturunkan kepada orang ramai. Bentuk yang selalu dilihat adalah bentuk al-mathal iaitu perumpamaan, al-khitabah atau ucapan dan al-qisas atau cerita.
Ouss bin Sa'ida adalah salah seorang pemerintah Arab yang juga merupakan seorang pemidato dan penulis. Aktham bin Sayfi juga adalah seorang lagi pemerintah Arab yang terkenal dengan ucapan beliau.
B. Kitab Suci Al-Quran
Al-Quran adalah kitab suci utama dalam agama Islam. Ia memberikan pengaruh yang agak besar juga kepada bahasa Arab dan menandakan permulaan kesusasteraan Islam di Semenanjung Tanah Arab. Umat Islam percaya bahawa kitab ini disalin dalam loghat Arab Quraisy, puak nabi Muhammad s.a.w. Apabila ajaran Islam tersebar, al-Quran menjadi sumber penyatu dan piawaian kepada bahasa Arab.
Al-Quran bukan sahaja merupakan 'karya' yang ditulis dengan bahasa yang panjang namun ia turut mempunyai struktur yang lebih rumit berbanding dengan karya sastera pada zaman jahiliah. Ia mengandungi 114 surah dengan 6,236 ayat. Ia mengandungi perintah, penceritaan, nasihat ringkas, perumpamaan, petunjuk terus dari Tuhan dan juga ulasan bagaimana untuk menerima dan memahaminya. Ia turut dikagumi kerana lapisan metaforanya serta cirinya yang jelas seperti yang disebut sendiri dalam Surah al-Nahl (16:103).
Sebanyak 92 surahnya dipercayai diwahyukan oleh Allah kepada nabi Muhammad s.a.w di Mekah sebelum bermulanya Hijrah. Ayat-ayat tersebut umumnya berurusan dengan usuluddin atau prinsip akidah Islam. Manakala, sebanyak 22 lagi surah dipercayai diturunkan di Madinah selepas peristiwa Hijrah. Ia berurusan dengan Syariah dan cara hidup umat Islam.
Perkataan Qur'an bermaksud 'bacaan' dalam bahasa Melayu. Pada awalnya ia diturunkan secara lisan. Kemudian, ia dicatitkan di atas papan luh dan pelepah daun kurma kering sebelum ia dikumpul oleh Abu Bakar (573-634) dan ditranskripsi dalam mashaf yang disatukan semasa zaman Uthman (576-656).
Walaupun ia mengandungi elemen prosa dan syair makanya ia terdekat sekali dengan saj atau prosa berirama. Al-Quran dianggap sebagai sebahagian daripada klasifikasi ini. Kitab al-Quran dipercayai sebagai wahyu ilahi dan dilihat oleh Muslim sebagai abadi atau 'tidak diciptakan'. Ia seterusnya membawa kepada doktrin i'jaz atau al-Quran tidak boleh ditandingi atau sesiapa pun tidak boleh meniru gaya bahasanya.
Dan serulah sesiapa saja dalam kalangan kamu selain Allah yang sanggup merangkaikan kata dan menyusunnya menjadi kalimat seperti al-Quran. Jika kamu mengakui dirimu itu adalah orang yang benar dan berkemampuan, maka buktikanlah kebenaran ucapanmu itu. - Surah Hud (11:13)
Doktrin i'jaz ini berkemungkinan memberikan kesan pengehadan sedikit terhadap kesusasteraan bahasa Arab iaitu lafaz yang diucapkan itu adalah seperti yang ditulis. Sementara Islam membenarkan Muslim menulis, membaca dan melafazkan syair namun al-Quran dalam Surah ash-Shu'ara (26:224-227) menyatakan bahawa syair yang kufur, tidak semenggah, mengajak ke arah maksiat atau cuba menandingi isi kandungan al-Quran dan bentuknya itu adalah diharamkan ke atas seseorang Muslim.
Hal ini memberikan penguasaan ke atas penyair zaman jahiliah pada abad ke-6 masihi yang mana populariti mereka itu ditandingi dengan al-Quran. Selepas itu, Semenanjung Tanah Arab kekurangan penyair yang ulung sehinggalah pada abad ke-8 masihi. Salah seorang penyair selepas zaman jahiliah itu adalah Hassan bin Thabit yang menulis syair memuji nabi Muhammad s.a.w. Beliau diberikan gelaran sebagai "penyair nabi". Seperti juga kitab Perjanjian Baru dan Lama yang penting dalam kesusasteraan bahasa lain di sekitarnya, al-Quran menduduki tempat yang penting dalam bahasa Arab. Ia menjadi sumber kepada banyak buah fikiran, kiasan, petikan dan pesanan moralnya itu menjadi panduan dalam kebanyakan karya.
C. Sastera Hadis
Selain daripada al-Quran, hadis atau petikan kata-kata dari nabi Muhammad s.a.w dan amalannya menjadi sumber sastera utama. Keseluruhan badan amalan dan kata-kata baginda itu dikumpulkan sebagai sunnah atau tradisi yang dianggap sebagai sahih oleh pengumpul hadis. Antara pengumpul hadis yang terkenal sekali termasuklah Muslim bin al-Hajjaj dan Muhammad bin Ismail al-Bukhari.
D. Sastera Lain
Sastera penting lain yang berkaitan dengan pengajian al-Quran seperti tafsir atau ulasan berbahasa Arab berkaitan dengan agama juga dipandang sebagai penting dan digunakan untuk khutbah. Di samping itu, kata-kata seperti dari Ali r.a. juga dikumpulkan pada abad ke-10 masihi dan diberikan judul Nahjul Balaghah atau Puncak Kepetahan.