Qarin

Qarin bermaksud teman rapat dan merupakan roh kembar bagi manusia sama ada sebahagian daripada jiwa manusia itu sendiri atau makhluk peneman yang berada dalam dimensi lain yang sejajar. Disebabkan cirinya yang berbentuk rohani maka Qarin ini sering dikelaskan sebagai makhluk dalam kalangan jin walaupun ia bukan sejenis jin. Qarin ini adalah roh peneman. Ia tidak sama dengan Qarinah atau jin peneman tidur yang terdapat dalam kepercayaan Timur Tengah.

Qarin dalam Kitab Suci al-Quran

Qarin disebutkan dalam ayat al-Quran seperti dalam Surah az-Zukhruf, Surah as-Saffat, Surah an-Nisa dan Surah Qaf.

Setengah pendapat mengulas lanjut mengenai ciri sebenar Qarin ini. Menurut salah satu pendapat, Qarin ini sebenarnya adalah syaitan yang menghasut manusia dengan waswas namun mereka boleh berubah menjadi makhluk yang baik mengikut amalan baik manusia itu sendiri. Sebagai contoh, Qarin kepunyaan nabi Muhammad menjadi seorang Muslim. Namun begitu, ulasan selanjutnya menyatakan bahawa tidaklah dapat dipastikan sama ada Qarin yang menjadi kembar nabi Muhammad boleh menjadi seorang yang baik.

Pendapat lain pula berpandangan bahawa Qarin ini merujuk kepada sebarang jenis roh yang mengikuti manusia. Oleh itu, Qarin di sini merujuk juga kepada syaitan yang membisikkan waswas serta malaikat yang mebisikkan nasihat ke arah kebajikan.

Selanjutnya, Qarin dijelaskan sebagai diri manusia yang lain. Ia adalah roh yang bersepadu yang menjadi sebahagian daripada diri manusia. Pertentangan antara Qarin dalaman dengan tabiat seseorang itu boleh menyebabkan simptom yang sama seperti kerasukan syaitan muncul pada diri seseorang.

Qarin dalam Rujukan Hadis

Menurut hadis dari nabi Muhammad, "Tiada sesiapa pun dalam kalangan manusia ini yang tidak mempunyai Qarin yang dilantik dari dalam kalangan jin." Mereka bertanya, "Termasuk Tuan juga?" Lantas dijawab, "Ya, termasuk aku namun Allah menolongku menentangnya maka dia pun ditenangkan. Maka, dia hanya membisikkan kebajikan sahaja kepadaku."

Terdapat dua pandangan terkenal yang dilaporkan. Perkataan "ditenangkan" itu berasal dari kata "fa aslamu" dalam bahasa Arab yang bermaksud, "Maka, aku terselamat dari kejahatan dan godaannya." Jika dibaca sebagai "fa aslama" maka ia bermaksud, "Qarin tersebut menjadi Muslim dan menjadi seorang yang beriman lalu dia hanya membisikkan kepadaku supaya berbuat kebajikan sahaja."

Pengulas hadis berbeza pendapat berkenaan dengan pandangan mana yang benar. Al-Khattabi menyatakan bahawa, "Versi yang benar adalah "fa aslamu" yang bermaksud bahawa maka aku pun terselamat. Al-Qaadi Iyad pula berpendapat bahawa "fa aslama" yang bermaksud bahawa maka ia pun diislamkan sebagai versi yang benar. Terdapat juga perbezaan pandangan berkenaan riwayat yang menggunakan versi "fa aslama". Dikatakan bahawa ungkapan tersebut bermaksud "jin" itu menyerahkan dirinya dari segi mengikut perintah dan ulasan ini muncul dalam bentuk "fa astaslama" dalam riwayat Sahih Muslim, 2814. Maksud ungkapan tersebut jelas sekali merujuk kepada "jin" itu diislamkan dan menjadi seorang yang beriman.

Tokoh seperti Abu Naim al-Asbahani dalam Dala'il an-Nubuwwah (1:185): "Diperkatakan bahawa aslama itu bermaksud ia beriman. Nabi Muhammad sahaja satu-satunya manusia yang Qarinnya menganuti agama Islam dan menjadi seorang yang beriman."

Berdasarkan kepada hadis ini, Qarin yang menjadi peneman nabi Muhammad ini dijelaskan sebagai penganut ajaran baginda dan beriman kepada baginda. Hal ini hanya khusus bagi nabi Muhammad sahaja. Selanjutnya, tiada sebarang riwayat pun yang menyaksikan bahawa para sahabat nabi Muhammad cuba untuk mengislamkan Qarin mereka.

Qarin dalam Sumber Lain

Konsep Qarin ini muncul dalam sastera pra-Islam juga. Ia boleh jadi juga adalah kenangan dari daimones orang Yunani dan juga malaikat pelindung dalam kepercayaan penganut agama Kristian. Dalam kepercayaan masyarakat Arab pra-Islam, Qarin ini dikatakan mampu untuk memberi ilham kepada penyair dalam menghasilkan karya.

Salah seorang daripada tujuh mu'allaqat atau syair Arab yang diisytiharkan sebagai karya terulung semasa zaman pra-Islam menggunakan perkataan Qarin sebagai metafora atau perlambangan. Bagi memberikan gambaran mengenai kegemilangan puaknya dalam peperangan, penyair Amr bin Kulthum menyatakan bahawa, "setiap puak itu gentar kepada kami seperti Qarin" yang bermaksud bahawa puak-puak lain sentiasa takut dan gentar terhadap puak Amr. Hal ini selanjutnya menunjukkan asal-usul perkataan Qarin seperti yang dijelaskan dalam kamus bahasa Arab itu sendiri bermaksud, "sahabat" atau "teman".

Rujukan mengenai Qarin

  • Definisi Qarin, al-Afkar Bil. 102, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, 28 Februari 2020 (Online)
  • Apakah itu Qarin, Past Present and Future, UTM, 24 Disember 2018 (Online