Perkembangan Pergerakan Nasionalisme Arab

Beberapa pemberontakan Arab menentang kuasa Eropah berlaku berikutan pengasasan mandat British dan Perancis. Rasa tidak puas hati terhadap pemerintahan British memuncak dengan pemberontakan Iraq pada tahun 1920. Kebangkitan yang melibatkan warga kota dan puak hulu di Iraq ini berakhir pada tahun 1921. Selepas itu, British mengubah dasar mereka secara mendadak di Iraq. Walaupun mandat masih berlaku secara rasmi lagi di Iraq namun British hanya menjalankan peranan dari segi memberikan nasihat sahaja.

Pada tahun 1925, bangsa Druze dari selatan Syria di bawah pimpinan Sultan al-Atrash memberontak menentang pemerintahan Perancis. Pemberontakan tersebut seterusnya merebak ke seluruh Syria terutamanya di Damascus. Pemerintah Perancis bertindak secara sistematik mengebom kota Damascus menyebabkan beribu-ribu orang mati. Pemberontakan tersebut berjaya dipadamkan pada penghujung tahun namun ia berjaya juga memaksa Perancis mengambil langkah seterusnya untuk membebaskan Syria.

Di Mesir pula, rasa tidak puas hati terhadap penguasaan British menyebabkan berlakunya pemberontakan di seluruh negara pada tahun 1919. Hasil dari rundingan selama tiga tahun berikutan kebangkitan penduduk Mesir, British bersetuju membenarkan Mesir mengisytiharkan kemerdekaan pada tahun 1922 secara rasmi namun ketenteraan British masih lagi berpengaruh besar di situ. Pemimpin politik dalam revolusi Mesir menggalakkan nasionalisme Mesir berbanding dengan nasionalisme Arab.

Kemerdekaan Mesir, Hijaz dan Yaman Utara secara berturutan ini menggalakkan nasionalis Arab melaksanakan program tindakan menentang kuasa penjajah di rantau mereka. Menurut Youssef Choueiri, "kelipan awal" pendekatan pan-Arab muncul pada tahun 1931 semasa perhimpunan pan-Islam di Jerusalem. Ia menggariskan pertumbuhan Zionisme yang menimbulkan keresahan dalam kalangan Muslim Arab di Palestin. Delegasi Arab mengadakan persidangan berasingan dan pertama kalinya delegasi dari Afrika Utara, Mesir, Semenanjung Tanah Arab dan Bulan Sabit Subur berhimpun bersama membincangkan isu-isu bangsa Arab. Perhimpunan pan-Arab itu mengisytiharkan tiga perkara berikut iaitu:        

  • Negara-negara Arab membentuk keseluruhan entiti yang integral dan tidak terpisah. Oleh itu, bangsa Arab tidak menerima atau mengiktiraf perpecahan dalam sebarang bentuk pun;
  • Semua usaha dalam negara-negara Arab haruslah ditumpukan kepada pencapaian kemerdekaan mutlak dalam kesatuan. Setiap usaha yang merangkumi kegiatan politik tempatan atau isu rantau haruslah ditentang sehabis-habisnya; dan
  • Oleh kerana penjajahan dalam rupa-rupa dan jelmaannya itu tidak sesuai dengan maruah dan matlamat tertinggi bangsa Arab, maka bangsa Arab menolak penjajahan dan akan menentangnya dengan apa jua cara sekali pun.
Perancangan untuk persidangan masa hadapan yang terdekat pun dibuat namun ia tidak sempat untuk dinyatakan disebabkan oleh kematian Faisal pada tahun 1933 dan disebabkan oleh tentangan hebat oleh kerajaan Britain. Delegasi persidangan tersebut memilih Faisal dari Iraq sebagai penaung dan beliau pun bersetuju memberikan sokongan moral dan kebendaan kepada pergerakan tersebut.
 
Walau bagaimanapun, Parti Kemerdekaan Arab dibentuk oleh aktivis Palestin dan Iraq dari al-Fatat hasil dari persidangan Jerusalem pada 13 Ogos 1932. Kebanyakan kegiatan parti ini bertumpu kepada bidang politik Palestin selain daripada usaha mencapai kesatuan bangsa Arab dalam memperkukuh penentangan mereka ke atas Mandat British di Palestin serta peningkatan penempatan bangsa Yahudi di situ.
 
Pada Ogos 1933, Liga Tindakan Nasionalis (LNA) diasaskan di Lebanon oleh kelompok pegawai kerajaan profesional yang berpendidikan Barat dengan tujuan untuk mewujudkan pasaran Arab dan industri bersama. Selain itu, mereka ingin menghapuskan sekatan kastam antara negara Arab bagi memudahkan pergerakan bahan dagangan sesama mereka. Di samping itu, mereka mencadangkan pembaharuan dalam bidang pertanian iaitu mengehadkan kuasa tuan tanah, menghapuskan apa yang dianggap oleh mereka sebagai "feudalisme" dan mempromosikan perkembangan industri. LNA juga cuba menghapuskan tuan tanah yang tidak mengusahakan tanah mereka sendiri di Levant kerana mereka cenderung untuk menggalakkan nasionalisme tempatan, terbuka untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa Eropah serta bekerjasama dengan pembeli berbangsa Yahudi. LNA mendapat sokongan besar sepanjang tahun 1930an namun ia beransur mati pada tahun 1940an.
 
Berikutan pembunuhan Izuddin al-Qassam, pemimpin gerila Arab Syria oleh tentera British di Ya'abad, ketegangan antara penduduk Arab dan penduduk Yahudi pun mencapai kemuncak.