Sarjana Islam dan bukan Islam umumnya membezakan malaikat, jin dan syaitan kepada tiga bangsa ghaib dalam tradisi Islam. Walau bagaimanapun, garis perbezaan antara jin dan syaitan itu selalu kabur. Terutamanya dalam penglipur lara, jin ini berkongsi sifat-sifat yang selalunya dikaitkan dengan syaitan. Kedua-dua jin dan syaitan pula dikatakan bertanggungjawab terhadap penyakit seperti penyakit jiwa, wabak dan kerasukan.
Sifat-sifat ini tidak pula muncul dalam al-Quran atau hadis sahih. Al-Quran menekankan perbandingan antara manusia dengan jin sebagai taqalan iaitu mereka yang bertanggungjawab terhadap amal perbuatan mereka sendiri serta akan diadili berdasarkan amalan mereka. Oleh kerana syaitan itu sememangnya jahat, maka mereka tidak termasuk dalam taqalan seperti juga malaikat yang baik kerana takdir mereka sudah ditentukan. Jin berkongsi banyak sifat dengan manusia, namun syaitan pula berbeza. Penglipur lara juga turut membezakan kedua-dua jenis makhluk jin dan syaitan.
Kajian lapangan dalam tahun 2001-2002 dalam kalangan Muslim Sunni di Syria merekodkan banyak kisah lisan mengenai jin. Kisah mengenai Iblis dan syaitan jarang sekali muncul. Berbeza pula dengan kisah mengenai jin yang sering muncul dalam kisah seharian masyarakat Syria. Nampaknya syaitan ini pada asasnya dikaitkan dengan peranan mereka dalam kitab suci agama Islam, digambarkan sebagai bala tentera abkstrak yang cuba untuk menggoda umat Islam supaya melakukan perbuatan yang tidak diterima oleh masyarakat. Sedangkan jin pula sering ditemui oleh manusia di tempat terpencil.
Hal di atas menepati tanggapan umum bahawa syaitan itu membisikkan was-was ke hati manusia namun mereka tidak merasuki manusia secara jasadi. Oleh kerana istilah syaitan ini selalu digunakan sebagai epitet atau rujukan lain bagi menggambarkan taqalan iaitu manusia atau jin, menamakan jin jahat sebagai syaitan dalam sesetengah sumber, maka kadang-kala sukar sekali untuk membezakan antara jin dan syaitan. Selain itu, Syaitan dan bala tenteranya juga muncul dalam tradisi yang dikaitkan dengan ulasan-ulasan yang berkaitan dengan agama Yahudi dan Nasrani, manakala jin pula mewakili entiti dari latarbelakang musyrik.