Penjelmaan Jin

Keghaiban

Jin tidak dikira sebagai makhluk ghaib dari segi bersifat rohaniah murni atau mencakupi fitrah. Walaupun mereka ini dipercayai halimunan namun mereka juga makan, minum, membiak dengan yang berbeza jantina dan melahirkan anak yang menyerupai induknya. Hubungan jenis tidak terhad dengan sesama jin sahaja, namun terdapat kemungkinan manusia boleh berhubungan jenis dengan jin. Walau bagaimanapun, amalan ini dikelaskan sebagai makruh dalam syariat Islam. Selain itu, terdapat percanggahan pendapat sama ada hubungan jenis antara manusia dan jin itu akan melahirkan zuriat.

Jin dikira sebagai makhluk alam dalam falsafah klasik dari segi ia mengandungi elemen alam, melalui perubahan dan terbatas kepada masa serta ruangan. Mereka menyerupai semangat atau syaitan dari segi mereka halimunan dan tidak dapat dikesan oleh pancaindera. Oleh itu, mereka berhubung dengan manusia atau jisim dengan cara yang melibatkan sentuhan. Dalam risalah saintifik, jin dimasukkan dalam kelompok haiwan dengan tubuh yang halus. Qanoon-e-Islam yang ditulis oleh Sharif Ja'afar pada tahun 1832 di India menyatakan bahawa jasad jin ini mengandungi sebanyak 90 peratus roh dan 10 peratus daging. Mereka menyerupai manusia dalam kebanyakan perkara. Yang membezakan mereka dengan manusia adalah jisim mereka yang halus sahaja. Namun, keadaan inilah yang membolehkan mereka berubah rupa, bergerak pantas, terbang di udara dan menyerap ke dalam manusia menyebabkan penyakit seperti sawan atau lain-lain. Di samping itu, godaan supaya manusia bersekutu dengan jin ini menyebabkan muncul amalan-amalan sihir bagi menyeru jin.

Berbeza dengan jin dalam kisah-kisah agama Islam, jin dalam kisah dongeng Timur Tengah yang digambarkan sebagai makhluk ajaib itu sebenarnya dianggap sebagai fiksyen atau rekaan imaginasi penglipurlara semata-mata.

Rupa Jin

Dalam kepercayaan Islam, rupa jin boleh dibahagikan kepada tiga iaitu:

1. Penjelmaan Haiwan

Jin begini dianggap mampu menjelma kepada rupa pelbagai jenis haiwan seperti kala jengking, kucing, burung hantu dan keldai liar. Anjing terutamanya anjing hitam dikaitkan juga dengan jin. Perkaitan antara anjing dengan jin ini banyak sekali disebut dalam sastera bahasa Arab namun ia telah hilang maknanya dalam kitab suci Parsi. Selain itu, jin tidak boleh menjelma dalam rupa serigala kecuali dalam kisah 'udhrut di Yaman. Serigala dianggap sebagai pemburu jin yang semulajadi. Hal ini kerana serigala mempunyai ciri-ciri mulia yang boleh menghalang kemampuan jin untuk meresap hilang.

Selain daripada itu, ular juga dikaitkan dengan jin. Tradisi Islam menyebutkan mengenai ular yang merupakan sejenis jin. Istilah jan digunakan bagi merujuk ular dan juga jin. Perkaitan antara jin dan ular cukup kuat sekali sehingga penganut Islam mempercayai bahawa membunuh ular boleh menimbulkan dendam dalam kalangan jin sehingga mereka akan memburu dan membalas dendam terhadap pembunuh ular. Terdapat juga sumber yang menyebut bahawa mayat jin yang dibunuh itu akan menjelma menjadi bangkai ular atau kala jengking.

Ular dan kala jengking dihormati di Timur Dekat sejak dari zaman purba lagi. Selain ular, haiwan seperti kala jengking dan cicak juga dianggap sebagai jin yang menjelma menjadi haiwan. Di samping itu juga, gazel, musang, anjing dan burung unta juga dikaitkan dengan penjelmaan jin. Namun, haiwan-haiwan ini tidak semestinya merupakan jin yang menjelma. Sebaliknya, mereka boleh juga menjadi wahana atau tunggangan jin.

2. Penjelmaan dalam Bayang dan Ribut

Jin juga dikaitkan dengan angin. Mereka boleh muncul sebagai kabus atau ribut pasir. Zubair al-Awam, seorang sahabat nabi Muhammad semasa mendengar sabda nabi Muhammad mengenai jin telah menyampaikan pandangannya bahawa jin itu adalah hantu dalam rupa bayangan yang tidak berjasad.

Menurut satu riwayat, al-Ghazali telah bertanya Tabasi yang terkenal sebagai penyeru jin supaya menunjukkan jin kepada beliau. Seterusnya, Tabasi bersetuju dan menunjukkan jin kepada al-Ghazali. Al-Ghazali melihat mereka berupa seperti bayang yang melekap di dinding. Al-Ghazali lantas meminta untuk bercakap dengan jin-jin itu. Tabasi lalu berkata, oleh itu kamu kini tidak dapat melihat jin lagi. Walaupun ribut pasir dipercayai disebabkan oleh jin, Abu Yahya Zakaria bin Muhammad al-Qazwini dan al-Ghazali mengaitkan hal ini dengan penyebab yang disebabkan oleh alam semulajadi. Selain daripada itu, ribut pasir dianggap disebabkan oleh pertarungan antara kelompok jin yang bertelingkah.

3. Penjelmaan Manusia

Antara ciri jin itu adalah ia kekurangan peribadi namun mereka boleh mencapai keadaan itu dengan menjelma sebagai manusia seperti Sakhr dan beberapa jin lain yang terkenal dalam penulisan mengenai sihir. Selain menjelma dalam rupa manusia, mereka boleh menjelma menjadi separa haiwan dan tidak sepenuhnya dalam rupa manusia. Oleh itu, sesetengah jin itu digambarkan sebagai berupa bengis dengan tubuh separa haiwan atau manusia yang bersifat haiwan. Jenis jin yang sering dikaitkan dengan bentuk manusia adalah si'lah dan ghul. Walau bagaimanapun, disebabkan mereka itu berupa separa haiwan maka tubuh mereka digambarkan sebagai gabungan dari dua atau lebih daripada satu spesis haiwan. Sesetengah mereka mempunyai tangan seperti kaki kucing, berkepala burung atau mempunyai sayap di bahu.