Mesopotamia adalah rantau bersejarah di Asia Barat terletak di antara aliran Sungai Tigris dan Sungai Furat. Ia terletak di utara rantau Bulan Sabit Subur. Pada hari ini, Mesopotamia dikenalpasti berada di dalam negara Iraq moden. Secara meluasnya, kawasan bersejarah Mesopotamia sebenarnya turut melibatkan kawasan yang kini berada dalam negara moden seperti Iran, Turki, Syria dan Kuwait.
Mesopotamia menjadi tapak bagi kemajuan terawal dalam Revolusi Neolitik dari sekitar tahun 10,000 SM. Ia dikenalpasti menjadi "ilham kepada sesetengah perkembangan penting untuk kebanyakan kemajuan dalam sejarah umat manusia, termasuklah dalam penciptaan roda, penanaman tumbuhan bijiran terawal, perkembangan tulisan kursif, ilmu hisab, ilmu falak dan pertanian." Ia juga dikenalpasti sebagai pusat pertembungan terawal bagi beberapa tamadun yang terawal di dunia.
Bangsa Sumeria dan Akkadia, kedua-duanya berasal dari kawasan yang berlainan, mengusai Mesopotamia sejak dari awal sejarah direkodkan (c. 3100 SM) hingga kepada kejatuhan Babilon pada tahun 539 SM. Kebangkitan pelbagai empayar bermula dengan Sargon dari negara Akkad sekitar tahun 2350 SM, mewarnai sejarah Mesopotamia hingga 2,000 tahun selepasnya, ditandai dengan kerajaan serta empayar yang menggantikannya seperti Empayar Akkadia.
Pada awal abad kedua SM pula, berlaku polarisasi masyarakat Mesopotamia menjadi Assyria di utara dan Babilonia di selatan. Dari tahun 900 SM hingga 612 SM, Empayar Neo-Assyria menguasai kebanyakan kawasan di rantau Timur Dekat pada zaman purba. Seterusnya, orang Babilon, yang telah lama dibayangi oleh Assyria, merampas kuasa, menguasai kawasan itu sebagai penaung Mesopotamia yang bebas selama satu abad hinggalah ke zaman moden. Pada tahun 539 SM, Mesopotamia dijajahi oleh Empayar Akhemenia dan selanjutnya oleh Iskandar Agung pada tahun 332 SM. Selepas kemangkatan Iskandar Agung, Meseopotamia kemudian jatuh menjadi sebahagian daripada Empayar Seleukid Yunani.
Sekitar tahun 150 SM, Mesopotamia dikuasai oleh Empayar Parsi. Ia menjadi medan peperangan antara orang Romawi dan orang Parsi, dengan kawasan barat rantau itu condong ke arah kawalan Romawi. Pada tahun 225 M, kawasan timur Mesopotamia jatuh ke dalam kekuasaan Empayar Sasan. Pembahagian kawasan itu berlaku di antara Empayar Romawi Bizantium bermula dari tahun 395 M dengan Empayar Sasan hinggalah penaklukan Parsi oleh Muslim pada abad ke-7 masihi serta penaklukan Muslim ke atas rantau Levant yang pernah dikuasai oleh Empayar Romawi Bizantium. Beberapa negeri yang asasnya dihuni oleh orang asal Neo-Assyria penganut agama Nasrani wujud di Mesopotamia antara abad pertama sebelum masihi hingga abad ketiga masihi, termasuklah Adiabene, Osroene dan Hatra.
Maklumat tambahan berkenaan dengan topik Mesopotamia boleh juga diakses di laman sesawang Khan Academy dalam Kursus Sejarah Dunia, Unit 1, Pelajaran 3: Mesopotamia Purba atau Mesopotamia dalam saluran History.Com.