Bangsa
Arab tiba di Asia Tengah pada dekat selepas kejayaan mereka dalam
Peperangan Nihavend pada sekitar tahun 642 masihi. Ketika itu, mereka
telah menyelesaikan penaklukan ke atas empayar Sassan dan berjaya
merampas Sistan dan Khurasan. Marv, ibu kota Khurasan jatuh ke tangan
Abdallah bin Amir pada tahun 651 masihi. Kejatuhan kota Marv ini
menjadikan sempadan khalifah yang baru muncul ini menyentuh Sungai Oxus.
Tanah
melepasi Oxus iaitu Transoxiana dikenali sebagai 'tanah seberang
sungai' sahaja oleh orang Arab. Walau bagaimanapun, orang Arab mendapati
bahawa rantau di situ berbeza dari rantau asal mereka dari pergunungan
Hindu Kush sehingga ke lembah sungai yang subur dan pekan gurun yang
mempunyai wadi. Rantau yang ditakluki itu juga diduduki oleh pelbagai
bangsa sama ada yang menetap atau yang berpindah-randah. Selain daripada
itu, pentadbirannya dipelopori oleh bangsa Parsi dan rantau ini
terbahagi pula kepada beberapa kerajaan negeri yang merdeka.
Dari segi geografi, politik dan sosial, Transoxiana terbahagi pula kepada empat rantau iaitu:
- Tokhara, di hulu Oxus dikelilingi oleh Pergunungan Hissar di utara dan Hindu Kush di timur dan selatannya;
- Sogdia, di sebelah timur bahagian Oxus tengah dan sekeliling Sungai Zarafshan;
- Chorasmia, di hilir Oxus dan muaranya sehingga ke Laut Aral; dan
- Tanah di utara Pergunungan Hissar dan sepanjang Sungai Jaxartes, termasuklah Zhtvsu dan Lembah Fergana.
Seperti
juga pada hari ini, populasi di rantau itu terbahagi kepada dua
kelompok linguistik yang bertutur dalam bahasa Irani dan bahasa Turki.
Penduduk berbahasa Irani pada abad ke-7 masihi lebih cenderung untuk
menetap di bandar-bandar sedangkan penutur bahasa Turki pula
berpindah-randah.
A. Tokhara
Dari
segi sejarahnya pula, Transoxiana dikuasai oleh penaklukan bangsa nomad
dari Asia Tengah. Pada abad ke-2 sebelum masihi, bangsa Yuezhi
memusnahkan kerajaan Greco-Bactria dan membina empayar Kushan di
atasnya. Ajaran Buddha juga diamalkan di rantau tersebut. Selepas itu,
empayar Kushan digantikan pula dengan pemerintahan Hephtali pada awal
abad ke-5 masihi sehingga kebangkitan Khagan Turki Awal pada pertengahan
abad ke-6 masihi. Khagan Turki Awal terpecah pula kepada dua dengan
Khagan Turki Barat mengekalkan kedudukannya sebagai pusat pemerintahan
di atas pelbagai kerajaan negeri di Transoxiana apabila keadaan
memerlukan contohnya seperti melancarkan serangan sehingga ke kota Balkh
di Afghanistan moden.
Apabila
Xuanzang, sami Buddha dari empayar Tang melawat Tokhara pada tahun 630
masihi, beliau menemui tidak kurang daripada 27 kerajaan negeri yang
diperintah oleh seorang Shad, putera berbangsa Turki di Qunduz. Shad ini
selalunya adalah putera sulung kepada seorang Yabghu Turki Barat.
Berikutan kejatuhan Khagan Turki Barat sekitar tahun 650 masihi, wizurai
mula memberontak dan menjadi pemerintah merdeka memakai gelaran Yabghu
pula. Para Yabghu ini masih mengekalkan lagi kedaulatan ke atas kerajaan
negeri di Tokhara namun kekuasaan mereka itu hanya memberikan impak
yang kecil sahaja. Putera-putera bangsa Turki yang menjadi panglima dan
raja kecil sebenarnya lebih berkuasa ketika kejatuhan Khagan Turki Barat
berlaku.
Utara
Oxus di Tokhara hulu pula mengandungi kerajaan negeri dari Badakhshan
di timur sehingga ke Khuttal, Kubadhivan dan Saghanivan di barat.
Selatan Oxus di Tokhara hilir pula mempunyai kota Balkh yang mentadbir
keseluruhan rantau itu. Ia menjadi pusat penempatan terpenting di
Tokhara dan menjadi pusat keagamaan terpenting dengan stupa Buddha
terkenal Nawbahar menarik penziarah dari rantau jauh untuk
menziarahinya. Kerajaan negeri penting di situ adalah Juzian, Badghis,
Herat dan Bamiyan. Di sebalik Hindu Kusah pula terbentang kota Kabul.
B. Sogdia
Di sebelah utara dan barat pergunungan Hissar sepanjang Sungai Zarafshan pula terbentang rantau Sogdia. Sogdia ini merupakan tanah bangsa Aryan purba dengan kebudayaan, bahasa dan huruf tersendiri. Kesemuanya didokumentasikan dengan baik menerusi penemuan arkeologi dan rujukan kesusasteraan. Sogdia juga terpecah kepada beberapa kerajaan negeri namun dua kota utamanya iaitu Bukhara dan Samarkand menjadi pusat pentadbiran bagi keseluruhan negara itu. Orang Sogdia ini umumnya menjadi pedagang yang giat di Jalan Sutera ke benua China. Rekod China kelihatan seperti mencadangkan bahawa kebanyakan putera raja tempatan Sogdia itu berasal dari dinasti yang sama dan ketua dinasti tersebut, pemerintah di Samarkand bersekutu menerusi perkahwinan dengan khagan Turki.
Kebanyakan pemerintah Sogdia menggunakan gelaran Parsi seperti khuda atau shah namun sesetengahnya juga menggunakan gelaran Turki. Pemerintah di Samarkand yang terkemuka dalam kalangan mereka menggunakan gelaran Sogdia sendiri iaitu ikhshid seperti juga raja-raja di Fergana. Pemerintahan diwariskan secara keturunan namun peranan penting sekali dimainkan oleh golongan dihqan atau tuan tanah dan pedagang kaya yang menurut H.A.R. Gibb mempunyai "kemerdekaan dan kuasa untuk menjatuhkan putera yang memerintah atau memilih penggantinya."
Di utara dan timur Sogdia pula terbentang "Padang Rumput Lapar" sejauh
160 km yang menjadi rantau subur di sekitar Sungai Jaxartes. Rantau ini
mengandungi kerajaan negeri Shash (Tashkent pada zaman moden) di sebelah
barat laut dan Lembah Fergana ke sebelah timurnya bersempadan dengan
Pergunungan Tien Shan yang di sebaliknya itu terbentang Kashgar,
sempadan paling barat sekali empayar China pada ketika itu.
C. Chorasmia
Ke barat Sogdia terpisah oleh gurun pula adalah Chorasmia. Ia didiami oleh bangsa Aryan yang menetap di bandar-bandar. Sejarah kawasan ini berusia antara lewat abad ke-3 masihi sehingga ke permulaan penaklukan orang Arab namun buktinya sukar sekali dikenalpasti disebabkan oleh kekurangan rujukan kesusasteraan dan kekurangan sumber arkeologi.
Sarjana moden juga bercanggah pendapat mengenai sama ada kawasan itu pernah diperintah oleh empayar Kushan disebabkan oleh ketiadaan jejak ajaran Buddha di situ dan tersebar luasnya agama Zoroaster di situ. Riwayat al-Tabari menyatakan bahawa kawasan itu telah ditakluki oleh maharaja Ardashir I (224 - 242 M) dari dinasti Sasan. Walaupun dalam senarai terakhir mengenai wilayah jajahan dinasti Sasan itu tidak memasukkan Chorasmia ke dalam wilayah kekuasaannya namun kawasan itu boleh jadi bergantung kepada dinasti Sasan dari Parsi.
Dari awal abad ke-4 M pula, Chorasmia diperintah oleh dinasti Afrighid, iaitu dinasti tempatan di situ. Ia diketahui umum menerusi penemuan matawang dan riwayat oleh al-Biruni, sarjana Chorasmia sendiri pada abad ke-11 masihi. Selain itu, tidak dapat dipastikan sama ada Chorasmia pernah berada di bawah penguasaan bangsa Turki atau tidak pada sekitar abad ke-6 sehingga ke-7 masihi.
Hugh N. Kennedy menyatakan bahawa Transoxiana, "merupakan tanah yang mewah, penuh dengan peluang dan kekayaan namun ia dipertahankan oleh tentera yang sangat menghargai kemerdekaan mereka." Kejatuhan Transoxiana ke tangan bangsa Arab itu bukanlah mudah kerana mereka berperang dengan susah payah dan lama sekali sebelum dapat merampasnya. Penaklukan bangsa Arab ke atas Transoxiana hanya sempurna selepas Peperangan Talas pada tahun 751 masihi.