Zaman Klasik
Walaupun kitab suci al-Quran telah menurunkan status jin dari dewata pelindung kepada semangat-semangat dan ditempatkan setaraf dengan manusia serta tertakluk kepada pengadilan Allah, melalui proses kehidupan, kematian dan akhirat namun mereka tidaklah selalu disamakan dengan syaitan.
Apabila agama Islam melebarkan sayapnya keluar dari Tanah Arab ke Persia, Afrika dan India kepercayaan terhadap jin ini disenyawakan dengan kepercayaan tempatan terhadap semangat serta dewata. Terjemahan-terjemahan al-Quran ke bahasa Parsi sering menjatikan jin dengan sama ada peri atau div dalam kebudayaan Parsi bergantung kepada akhlak serta tabiatnya. Walau bagaimanapun, penjatian jin dengan semangat dari kebudayaan lain itu tidaklah bersifat sejagat. Sesetengah semangat dari zaman pra-Islam masih lagi wujud. Peri dan div selalunya disaksikan sebagai berbeza daripada jin yang terdapat dalam kisah penglipur lara Muslim. Namun, kedua-dua dib dan jin ini sering dikaitkan dengan kebolehan mereka menjelma ke pelbagai rupa, bersifat syaitan dan sering bertindih-tindih cirinya.
Maghribi sebagai contoh mempunyai tradisi yang melibatkan menurun termasuklah upacara menghalau hantu walaupun hakikat bahawa jin ini berkebolehan merasuki manusia itu tidak disebut secara jelas dalam kitab-kitab muktabar Islam. Jin tidak boleh merasuki manusia sesuka hatinya. Namun, ia boleh merasuki manusia jika ia berada dalam keadaan lemah. Rasa tidak selamat, cinta yang tidak memberi kebahagiaan, ketidakstabilan mental dan kemurungan (semangat yang lelah) dikira sebagai bentuk-bentuk kelemahan manusia.
Dalam tradisi lisan di Artas di Baitullaham. Jin membentuk masyarakat di bawah tanah. Mereka mencemburui manusia, sering muncul di permukaan bumi menyebarkan penyakit kepada kanak-kanak, merampas makanan dan membalas dendam terhadap manusia yang menyakiti mereka. Sesetengah jin juga bersifat baik terhadap manusia serta memberikan pelajaran akhlak kepada manusia.
Di Sindh, Pakistan pula konsep jin ini diperkenalkan melalui agama Islam. Ia diterima masyarakat dan jin menjadi bahagian penting dalam penglipur lara tempatan termasuklah dalam kisah mengenai jinn dan jiniri. Walaupun konsep jin ini menjadi pelbagai disebabkan oleh kebudayaan rantau namun ia masih berkongsi bentuk umumnya iaitu kelompok jin membentuk masyarakat menyerupai manusia, mengamalkan agama, mempunyai perasaan, perlu makan minum, membiak dan berkeluarga. Sebagai tambahan, jin takut dengan besi. Mereka muncul di tempat sunyi terbiar dan lebih kuat serta pantas daripada manusia. Oleh kerana jin berkongsi bumi dengan manusia, maka Muslim sering peka dan berhati-hati bimbang mencederakan jin yang tidak bersalah dengan mengucapkan destur atau meminta izin sebelum menyimbah air panas. Umumnya, jin dibayangkan memakan tulang serta menyukai daging yang sudah reput.
Dalam kebudayaan Urdu atau Mughal di benua kecil India, jin selalu muncul sebagai karakter yang gemuk dan merujuk tuan mereka sebagai Aqa. Dalam penglipur lara Albania pula, jin yang disebut sebagai xhindi hidup sama ada di atas muka bumi atau di bawah tanah serta merasuk sesiapa yang menyinggung mereka. Contohnya, jika anak-anak mereka dipijak atau disimbah dengan air panas maka mereka akan membalas dendam. Kepercayaan terhadap jin juga terdapat dalam masyarakat di empayar Turki Osmaniah. Kepercayaan ini boleh dilihat dalam budaya popular yang dipelopori oleh filem-filem Turki seperti Siccin.
Komposisi dan kewujudan jin ini menjadi subjek perdebatan semasa abad pertengahan. Menurut imam Syafi'ie, jin ini halimunan dan tidak dapat dilihat dengan mata kasar manusia. Hanya nabi-nabi sahaja yang berkebolehan melihat jin namun orang awam tidak akan mampu melihat mereka.
Menurut Ashari, kewujudan jin tidak dapat dibuktikan kerana perbahasan merujuk kepada kewujudan jin ini berada di luar dari pemahaman manusia. Pakar dalam teologi Ashari menjelaskan bahawa jin itu halimunan di mata manusia kerana manusia kekurangan deria yang sesuai untuk melihat mereka. Golongan skeptik pula menghujahkan bahawa mereka meragui kewujudan jin. Jika jin itu wujud maka tubuhnya pastinya halus atau legap. Jika mereka wujud dalam bentuk halus, maka mereka tidak bolehlah menjalankan pekerjaan melibatkan jirim legap seperti menanggung batu berat. Jika jin wujud dalam bentuk legap pula, pastilah mereka boleh dilihat oleh mata kasar manusia. Oleh itu, skeptik enggan mempercayai rujukan sastera secara terus mengenai jin dalam teks-teks agama Islam. Mereka lebih cenderung melihat kepada jin sebagai rujukan kepada "orang yang degil" atau bersifat metafora saja.
Selain itu, mereka yang bersetuju dengan kepercayaan terhadap jin menekankan bahawa penciptaan Allah itu melampaui akal manusia. Oleh itu, jin adalah merupakan makhluk yang berada di luar kemampuan akal manusia. Pengulas-pengulas tafsir seperti Ibnu Taimiah dan Ibnu Hazm melarang penafian kepada kewujudan jin kerana ia disebut dalam teks-teks utama agama Islam. Semangat-semangat ini juga dirujuk sebagai makhluk halus dalam kalangan penganut agama Kristian, Majusi dan Yahudi bagi "membuktikan" kewujudan mereka. Ibnu Taimiah mempercayai bahawa jin ini umumnya bersifat "jahil, tidak amanah, menindas dan hasad". Beliau berpegang dengan kepercayaan bahawa jin ini terlibat dalam kebanyakan "keajaiban" yang dilihat oleh manusia, bekerjasama dengan tukang sihir untuk mengangkat barangan ke udara, menyampaikan kebenaran tersembunyi kepada tukang tenung nasib dan meniru suara manusia yang telah meninggal dunia semasa upacara menurun.
Pengulas lain seperti Jahiz dan Mas'udi mengaitkan penglihatan kepada kelibat jin itu disebabkan oleh faktor psikologi. Menurut Mas'udi, jin yang dijelaskan oleh ulama-ulama tradisional itu bersifat a priori atau teori sahaja. Jahiz dalam karyanya Kitab al-Hayawan menjelaskan bahawa kesunyian menyebabkan manusia terlibat dalam permainan akal dan berfikir mengenai keinginan-keinginannya lalu menimbulkan waswas di akalnya. Secara tradisinya, perkara ini difikirkan muncul disebabkan oleh syaitan. Jika seseorang itu takut, maka dia akan melihat perkara yang tidak benar. Hal ini menimbulkan dakwaan mengenai perkara yang dikisahkan secara turun-temurun dalam kisah sebelum tidur dan syair-syair. Kanak-kanak membesar dengan kisah-kisah ini lalu apabila mereka takut atau kesunyian, maka kisah-kisah ini akan muncul semula di benak fikiran mereka, menggalakkan mereka berkhayal dan menyebabkan muncul dakwaan melihat jin.
Walau bagaimanapun, Jahiz agak kurang kritikal terhadap jin dan syaitan berbanding dengan Mas'udi. Beliau menyatakan bahawa khayalan manusia sekurang-kurangnya menggalakkan orang ramai berkhayal mengenai makhluk-makhluk ghaib itu. Kitab Futuhat al-Makkiah yang dikaitkan dengan ahli tasawuf bernama Ibnu Arabi mendamaikan pandangan mengenai kewujudan sebenar-benarnya jin ini dengan kewujudan dalam khayalan dengan menjelaskan bahawa jin itu adalah imbasan dari pemerhatinya dan rantau mereka ditemui. Jin ini berbeza daripada malaikat dari segi jarak kedudukan mereka dengan syurga yang menggambarkan sfera ilahiah antara bumi dan langit. Beliau menyatakan bahawa, "Hanya sebanyak ini sahaja perbezaannya. Semangat jin itu adalah semangat yang rendahan, manakala semangat malaikat itu pula adalah semangat ilahiah". Jin disebabkan oleh berada di kediaman pertengahan maka mereka itu berkongsi ciri-ciri dengan malaikat dan manusia. Oleh kerana jin itu dekat dengan alam jasadi, maka mudahlah untuk manusia berhubungan dengan mereka berbanding dengan berhubungan dengan malaikat.
Jin sebagai Subjek Penglipurlara
Kisah mengenai jin boleh juga ditemui dalam Hikayat Seribu Satu Malam iaitu dalam kisah "Nelayan dan Jin". Selain itu, lebih daripada tiga jenis jin digambarkan dalam kisah "Ma'aruf Si Tukang Kasut" dan kisah "Aladdin dengan Lampu Ajaib" yang menceritakan mengenai dua jin yang membantu Aladdin.
Dalam kisah "Ali Nuruddin dan Badruddin Hasan", dikisahkan bahawa Hasan Badruddin menangis hiba di kubur ayahnya sehingga tertidur di situ. Beliau dikejutkan oleh sekumpulan jin yang bersimpati dengan nasib beliau.
Dalam sesetengah kisah, jin ini dikenali sebagai makhluk yang berkemampuan bergerak pantas contohnya dari China ke Maghribi hanya dalam sekelip mata. Mereka hanya terbang di udara dari satu tempat ke satu tempat misalnya dari Baghdad ke Kaherah hanya dalam beberapa jam sahaja.
Zaman Moden
Ahmadi menafsirkan jin sebagai orang yang berkuasa dan pengaruhnya dirasai oleh orang ramai walaupun ketika dia berada jauh darinya. Menurut Mirza Tahir Ahmad pula, istilah jin ini boleh juga digunakan untuk merujuk kepada makhluk mikroorganisme seperti kuman dan virus. Tokoh yang lain pula cuba untuk menggabungkan perspektif tradisional mengenai jin ini dengan ilmu sains moden. Fethullah Gulen yang merupakan pemimpin Pergerakan Hizmet turut mengetangahkan buah fikiran bahawa jin boleh menyebabkan gangguan schizophrenia dan barah. Selain itu, beliau berpandangan bahawa rujukan al-Quran mengenai jin yang diciptakan dari "api yang tidak berasap" ini boleh jadi merujuk kepada "tenaga". Mereka yang tidak menerima kaitan antara penyakit dengan jin turut mempercayai kewujudannya kerana ia disebut di dalam al-Quran.
Modernis umumnya menolak kepercayaan terhadap jin dan menyifatkannya sebagai kepercayaan khurafat yang dipegang oleh masyarakat Islam pada zaman lampau. Istilah jin dalam al-Quran ditafsirkan dengan makna yang kabur bagi merujuk kepada sesuatu yang halimunan, ghaib atau merujuk kepada tenaga alam serta malaikat. Disebabkan dalamnya kepercayaan masyarakat Muslim serta kepentingannya dalam kepercayaan agama Islam, tokoh-tokoh Muslim yang berpandangan liberal seperti Nasr Abu Zaid telah diisytiharkan oleh Mahkamah Syariah Mesir sebagai murtad pada tahun 1995 kerana membahaskan mengenai sebab kewujudan istilah jin dalam al-Quran dan jin itu merupakan sebagai sebahagian daripada kebudayaan Arab lama ketika al-Quran diwahyukan kepada nabi Muhammad berbanding dengan ia adalah makhluk ciptaan Allah. Akibat ancaman bunuh, Nasr Abu Zaid terpaksa meninggalkan Mesir beberapa minggu selepas beliau dihukum sebagai murtad.
Dalam hal ini, kelompok Muslim Salafi yang moden turut menolah tafsir terkini mengenai jin dan berpegang kepada kepercayaan secara literal sahaja. Mereka berpandangan bahawa ancaman jin serta kemampuan jin untuk merasuki manusia itu dibuktikan oleh al-Quran dan Sunnah. Walau bagaimanapun, mereka berbeza pandangan juga dengan kelompok Muslim Salafi pada zaman lampau mengenai kefahaman terhadap istilah jin. Fatwa dari kelompok Muslim Salafi yang moden ini selalunya merujuk kepada sejumlah pilihan ayat al-Quran dan Hadis tanpa merujuk kepada sebarang tradisi khusus atau pengalaman orang perseorangan.Sesetengah mereka membahaskan bahawa banyak daripada tradisi dan kepercayaan dalam kalangan Muslim itu terkeluar dari perbincangan akidah Salafi serta menyembunyikan kepercayaan Muslim yang terkandung dalam kepercayaan tempatan mereka contohnya seperti tanda-tanda awal kerasukan jin.
Muhammad al-Munajjid dari Arab Saudi yang merupakan ulama Salafi penting serta pengasas IslamQA turut memberikan maklumat berkenaan dengan jin, syaitan dan malaikat. Islamawareness.net dan IslamOnline turut memaparkan rencana yang ditulis oleh Fethullah Gulen menggunakan pendekatan yang serupa bagi menafsirkan alam ghaib. Di samping itu, tiada sebarang perbezaan digariskan antara syaitan, iblis dan jin. Mereka hanyalah semangat atau makhluk halus yang berbeza-beza pegangan hidup. Menurut Umar Sulaiman al-Ashqar, syaitan itu adalah jin yang kafir. Selanjutnya, Muhammad al-Munajjid menekankan bahawa membaca pelbagai ayat al-Quran dan azkar atau tindakan membaca zikir berulang kali memuja Allah seperti yang ditetapkan dalam syariat boleh melindungi seseorang daripada diganggu oleh entiti jin. Selain itu, amalan-amalan ini boleh mengelakkan umat Islam daripada terjebak dalam upacara syirik. Oleh itu, Arab Saudi yang berpegang dengan tradisi Wahabi mengenakan hukuman mati ke atas sesiapa yang berurusan dengan sihir, jin dan yang berkaitan dengannya.
Walaupun ia tidak digalakkan oleh ajaran Islam pada zaman moden ini, namun kepercayaan tempatan berkenaan jin masih lagi popular dalam kalangan masyarakat Islam. Mereka menerimanya dalam pandangan alam mereka. Penerimaan terhadap kewujudan jin sebagai makhluk berakal yang hidup bersama dengan manusia ini masih lagi menebal di Timur Tengah. Penyakit melibatkan rohani seperti sakit jiwa atau gila turut dikaitkan dengan kerasukan jin.
Kebiasaan dalam Kepercayaan terhadap Jin
Menurut satu kaji selidik yang dijalankan oleh Pew Research Center pada tahun 2012, peratusan umat Islam yang percaya dengan kewujudan jin boleh dilihat seperti berikut:
- 86 peratus di Maghribi
- 84 peratus di Bangladesh
- 63 peratus di Turki
- 55 peratus di Iraq
- 53 peratus di Indonesia
- 47 peratus di Thailand
- 15 peratus di rantau Asia Tengah