Pada tahun 1860an, kesusasteraan yang dihasilkan di Mashriq iaitu rantau Levant dan Mesopotamia yang ketika itu berada di bawah pengaruh Turki Osmaniah pada ketika itu menyalurkan emosi dan kecaman mendakwa bahawa bangsa Turki Osmaniah "mengkhianati Islam" dan tanah air serta menyerahkannya kepada umat Kristian dari Barat.
Pada pandangan para patriot Arab, agama Islam tidak dilihat berada dalam "tahap yang menyedihkan" sentiasa malah mereka memandang bahawa kejayaan ketenteraan dan keagungan kebudayaan bangsa Arab dari segi penyebaran ajaran Islam serta permodenan bangsa Eropah moden ketika itu sebagai berasal dari agama Islam itu sendiri. Mereka memandang bahawa Turki Osmaniah telah menyimpang dari ajaran Islam yang sebenar maka mereka pun mengalami kejatuhan. Mereka menyalahkan pembaharuan yang berlaku dalam kerajaan Turki Osmaniah dan Mesir kerana amalan yang dipinjam oleh mereka dari orang Eropah itu sebagai tidak berasaskan fitrah serta tercemar nilainya. Bagi mereka, pemerintah Islam sepatutnya menghidupkan semula ajaran Islam yang sebenar kerana ia akan menjadi batu loncatan bagi pengasasan kerajaan yang dari segi perlembagaannya berperwakilan dan bebas seperti yang terjelma dalam pemerintahan di negara Barat pada ketika itu.
Arabisme atau pengaraban dan patriotisme tempatan seperti di Mesir dan Levant yang bercampur-aduk mula mengatasi Ottomanisme dalam kalangan bangsa Arab di Syria dan Lebanon. Ibrahim al-Yazigi, seorang ahli falsafah Nasrani dari Lebanon menyeru supaya bangsa Arab 'menyedari keagungan purba bangsa mereka dan membuang pengaruh Turki" dari diri mereka pada tahun 1868. Pergerakan rahsia yang mempromosikan matlamat ini mula dibentuk pada lewat tahun 1870an dengan al-Yazigi menjadi salah seorang ahli. Pergerakan ini menaikkan banting-banting dan papan tanda menyeru supaya penduduk memberontak terhadap pemerintahan empayar Turki Osmaniah. Dalam pada itu, orang kenamaan di Damascus, Syria dan Lebanon yang kebanyakannya beragama Islam membentuk pergerakan yang serupa. Walaupun mereka tidak menggalakkan Arabisme namun mereka menyeru supaya supaya diwujudkan Lebanon yang merdeka. Masyarakat Arab Muslim secara umumnya mengharapkan rantau Syria Raya yang berstatus autonomi sahaja dari pemerintahan Turki Osmaniah.