Kebangkitan Nasionalisme Arab Moden

Pada tahun 1911, ahli politik dan intelektual Muslim dari seluruh rantau Levant membentuk Pergerakan al-Fatat atau Pergerakan Pemuda Arab di Paris, Perancis. Tujuan utamanya adalah untuk "menaikkan tahap bangsa Arab ke tahap bangsa moden." Dalam beberapa tahun kewujudan awalnya itu, al-Fatat menyeru supaya autonomi yang lebih besar diberikan kepada rantau bangsa Arab dalam empayar Osmaniah berbanding dengan menyeru kepada kemerdekaan rantau mereka.

Pegerakan al-Fatat menjadi tuan rumah kepada Kongres Arab 1913 di Paris bertujuan untuk membincangkan pembaharuan yang diingini dengan mereka yang bersetuju dengannya dari dunia Arab. Mereka juga memohon supaya tentera kerahan Arab dalam ketenteraan Osmaniah tidak dihantar di rantau bukan Arab kecuali semasa peperangan sahaja. Walau bagaimanapun, pemerintah Osmaniah menjejaki pergerakan tersebut dan menghancurkan kegiatannya. Ahli-ahli pergerakan tersebut kemudian bergerak secara rahsia dan seterusnya menuntut supaya kemerdekaan mutlak diberikan terus kepada rantau mereka serta menyeru supaya semua wilayah Arab bersatu.

Nasionalis Arab menjadi lebih terkenal lagi semasa pemerintahan Osmaniah berada di ambang kejatuhan namun buah fikiran nasionalisme Arab sebenarnya tidak memberi sebarang kesan yang ketara kepada kebanyakan masyarakat Arab kerana mereka masih lagi setia kepada empayar Osmaniah. British pada ketika itu menghasut supaya Syarif Mekah melancarkan Pemberontakan Arab semasa Perang Dunia Pertama. Pemerintah Osmaniah walau bagaimanapun berjaya mengalahkan mereka. Mereka yang setia kepada Faisal bin al-Husain, anak kepada Syarif Mekah kemudian memasuki Damascus pada tahun 1918. Ketika itu, Faisal bersama dengan intelektual Iraq dan pegawai tentera Arab menyertai al-Fatat lalu membentuk tulang belakang dalam negara Arab yang baru mereka bina. Negara Arab tersebut meliputi kebanyakan rantau Levant dan Hijaz.

Damacus menjadi pusat koordinasi pergerakan nasionalis Arab kerana ia dilihat sebagai tempat lahirnya ideologi tersebut, pusat pergerakan Faisal, pusat negara Arab moden pertama selepas hampir 400 tahun dijajahi oleh Turki Osmaniah dan kerana nasionalis dari seluruh rantau Mashriq sudah terbiasa dengannya. Selain itu, Jerusalem, Beirut dan Baghdad juga dilihat sebagai pusat sokongan yang penting. Berikutan terbinanya negara oleh Faisal itu, bibit ketegangan dalam pergerakan nasionalis Arab mula kelihatan dengan timbulnya konflik antara ideal tertinggi ideologi pergerakan tersebut iaitu membentuk satu unit blok yang mengandungi negara-negara Arab yang bebas dan berkongsi warisan kebudayaan serta bahasa Arab dengan kecenderungan kepada keutamaan cita-cita tempatan rantau mereka.

Jurang yang terbentuk antara ahli pergerakan nasionalis yang tua terdiri daripada kelompok keluarga urban Syria dengan ahli pergerakan nasionalis yang muda memburukkan ketegangan dalam pergerakan mereka. Ahli-ahli muda yang terdiri daripada askar Hijaz, pegawai tentera dari Iraq dan Syria serta intelektual dari Palestin dan Syria menjadi lebih rapat dengan Faisal.

Tentera lama diwakili oleh Rida Pasha al-Rikabi, menjadi perdana menteri kepada Faisal sedangkan tentera baru tidak diwakili oleh mana-mana pemimpin. Walau bagaimanapun, golongan belia dalam al-Fatat selepas itu menubuhkan al-Istiqlal, Parti Kemerdekaan Arab pada bulan Februari 1919. Matlamatnya adalah untuk menyatukan bangsa Arab dan kemerdekaan bangsa Arab. Ahli yang terkenal antaranya adalah Izzat Darwaxa dan Shukri al-Quwatli. Ia berpusat di Damascus dengan cawangan-cawangan dibuka di kota-kota lain dalam rantau Levant. Parti al-Istiqlal menerima bantuan kewangan dan sokongan politik dari Faisal sendiri. Namun ia bergantung kepada ahli dalam parti sendiri untuk terus hidup.

Semasa peperangan, Britain menjadi pembiaya utama kepada pemikiran nasionalis Arab dan ideologinya. Britain membiayai senjata untuk nasionalis Arab menentang empayar Osmaniah. Walaupun tentera Arab dijanjikan dengan satu negara yang meliputi kebanyakan Semenanjung Tanah Arab dan Bulan Sabit Subur namun Britain juga turut menandatangani Perjanjian Sykes-Picot dengan Perancis yang memasukkan rantau-rantau itu ke dalam kekuasaan mereka. Mereka membahagikannya pula kepada sesama mereka tanpa disedari oleh nasionalis Arab.

Semasa sela peperangan antara dua perang dunia dan tempoh Mandat British iaitu ketika tanah bangsa Arab dikawal oleh British serta Perancis, nasionalisme Arab menjadi pergerakan anti-penjajahan menentang pemerintahan bangsa Eropah.