Sihir selalunya dikaitkan dengan penglibatan jin dan ifrit di rantau Timur Tengah. Oleh itu, seorang ahli sihir boleh menyeru jin dan memaksanya untuk menjalankan arahannya. Jin yang diseru itu boleh dihantar kepada mangsa yang dipilih oleh ahli sihir lalu menyebabkan mangsa mengalami kerasukan syaitan. Seruan tersebut dijalankan dengan membaca jampi serapah, dengan bantuan penangkal atau dengan memberikan persembahan kepada jin lalu membuat perjanjian dengannya.
Jin juga selalu dikaitkan menjadi pembantu kepada tukang tilik. Tukang tilik akan mendedahkan maklumat dari zaman lampau dan masa kini. Hal ini terjadi kerana jin yang menjadi sumber maklumat tersebut mempunyai jangka hayat yang melebihi manusia. Cara untuk menundukkan jin adalah dengan memasukkan jarum ke kulit atau pakaian mereka. Disebabkan jin takut akan besi maka mereka tidak mampu untuk mengeluarkan besi itu dengan menggunakan kuasa mereka sendiri.
Ibnu al-Nadim, penulis Kitab al-Fihrist menyenaraikan sebanyak 70 jenis jin yang diketuai oleh Fuqtus termasuklah sekelompok jin yang dilantik untuk bekerja setiap hari dalam seminggu. Bayard Dodge yang menterjemahkan kitab ini ke bahasa Inggeris, menambah nota kaki bahawa kebanyakan nama jin yang disenaraikan tersebut juga terdapat dalam Kitab Kesaksian Nabi Sulaiman.
Satu kumpulan manuskrip perubatan sihir dari lewat kurun ke-14 atau awal kurun ke-15 masihi dari Ocana, Sepanyol menjelaskan sebanyak 72 jenis jin yang diistilahkan sebagai Tayaliq di bawah perintah Fuqtus yang menyebarkan pelbagai jenis penyakit di alam manusia. Menurut manuskrip ini, setiap jin ini dibawa menghadap nabi Sulaiman dan mendedahkan "kerosakan" yang disebabkan oleh mereka dan "kediaman" mereka. Fuqtus yang menjadi pemerintah jin pula memberikan preskripsi ubat untuk mengubati penyakit yang berkaitan dengan gangguan setiap jin di bawah pemerintahannya ketika mereka mengakui perbuatan buruk mereka itu.
Risalah Shamil yang ditulis oleh al-Tabasi pula membicarakan mengenai syaitan dan jin yang ditundukkan oleh bacaan-bacaan, penangkal dan gabungan tulisan serta jampi serapah yang dibaca bagi mendapatkan kuasa ghaib menerusi bantuan jin. Al-Tabasi membezakan antara ilmu hitam dan ilmu putih. Menurut beliau, ilmu hitam itu diasaskan oleh kekafiran manakala ilmu putih itu berasaskan kepada kemurnian.
Tujuh raja jin yang secara tradisinya dikaitkan dengan hari dalam seminggu turut disebut dalam Kitab Keajaiban yang tersimpan dalam naskah empayar Turki Osmaniah. Jin-jin atau ifrit ini selalu diseru bagi memberikan kuasa sakti kepada jampi serapah yang disimpan dalam penangkal yang dipakai oleh seseorang.