Asal-usul sebenar mengenai kepercayaan mengenai jin ini sebenarnya masih belum jelas lagi dari segi akademik. Sesetengah sarjana Timur Tengah berpegang dengan pendapat bahawa jin ini berasal dari semangat jahat yang berdiam di padang pasir dan tempat kotor. Mereka selalunya menjelma dalam rupa binatang. Sarjana lain pula berpendapat bahawa jin ini adalah dewata alam sekitar pagan yang kemudiannya ditinggalkan apabila dewata yang lain mendapat tempat dalam kepercayaan tempatan.
Jin masih lagi dipuja oleh masyarakat Arab sebelum kemunculan agama Islam namun tidak seperti para dewa, jin ini sebenarnya tidak abadi. Walaupun tahap keabadian mereka ini lebih rendah berbanding dewa-dewa, namun pemujaan terhadap jin ini masih lagi memainkan peranan penting dalam kehidupan seharian masyarakat Arab pagan berbanding dengan para dewa. Menurut kepercayaan Arab, tukang tenung yang juga merangkap ahli hikmah dan penyair mendapat inspirasi dari para jin. Kebudayaan dan masyarakat jin ini digambarkan sebagai sama dengan kebudayaan masyarakat Arab pagan dengan ketua puak yang melindungi sekutu-sekutunya serta membalas dendam terhadap kematian ahli puak atau sekutunya. Walaupun kuasa jin-jin ini melebihi kemampuan manusia, namun boleh dilihat bahawa manusia boleh membunuh jin dalam satu pertarungan.
Jin menurut kepercayaan Arab ini boleh menjelma kepada pelbagai rupa namun ia ditakuti sekiranya berada dalam rupa halimunan kerana ia boleh menyerang tanpa dilihat oleh sesiapa. Jin ditakuti kerana mereka dipercayai boleh membawa pelbagai jenis penyakit dan menyebabkan manusia menjadi hilang akal. Julius Wellhausen memerhatikan bahawa semangat sebegini selalunya dipercayai tinggal di kawasan yang ditinggalkan, suram dan gelap serta ditakuti oleh manusia. Masyarakat Arab percaya juga bahawa seseorang itu perlu melindungi diri mereka daripada jin namun tiada sebarang kultus khusus yang memberikan nasihat mengenai penggunaan azimat atau penangkal bagi mengelakkan gangguan jin.
Sesetengah sarjana membahaskan bahawa konsep malaikat dan syaitan pula diperkenalkan oleh nabi Muhammad di Tanah Arab. Konsep ini sebenarnya tidak wujud dalam kalangan jin. Selain itu, Amira el-Zein membahaskan bahawa malaikat dikenali oleh masyarakat Arab pagan. Namun, istilah jin juga digunakan untuk merujuk kepada pelbagai jenis entiti ghaib yang ada dalam pelbagai kultus dan agama selain daripada yang dianuti oleh masyarakat Arab. Oleh itu, malaikat atau syaitan dalam agama Zoroaster, Yahudi dan Nasrani digolongkan juga sebagai kelompok jin dalam kepercayaan masyarakat Arab pagan. Al-Jahiz menjelaskan bahawa masyarakat Arab pagan percaya bahawa masyarakat jin itu terdiri daripada pelbagai puak dan kumpulan. Sesetengah kejadian alam seperti ribut dikaitkan juga dengan kegiatan jin. Di samping itu, jin boleh juga melindungi, menculik, mengahwini, merasuki dan membunuh manusia.