Jin dalam Agama Samiah Lain

Kebudayaan di Mesopotamia dan Sumeria

Kepercayaan terhadap entiti yang serupa dengan jin ini turut ditemui dalam kebudayaan pra-Islam di seluruh Timur Tengah. Orang Sumeria mempercayai kewujudan Pazuzu iaitu jin angin yang dibayangkan berwajah seperti anjing dengan mata tertonjol, badan bersisik, kemaluan berupa seperti kepala ular dan berekor seperti pelepah burung serta bersayap.

Orang Babilon pula percaya bahawa wujud makhluk yang dikenali sebagai Utukku, iaitu sebangsa jin yang menghantui kawasan terbiar, kubur, pergunungan dan laut. Semua kawasan yang dipercayai menjadi tempat kediaman makhluk ini kemudiannya juga menjadi tempat kediaman jin dalam kepercayaan penganut agama Islam. Selain itu, orang Babilon mempercayai Rabisu, iaitu sejenis makhluk seperti pontianak yang muncul lalu menyerang pengembara di tempat-tempat terpencil. Rabisu ini hampir serupa dengan Ghul iaitu sejenis jin yang wujud sebelum kemunculan agama Islam. Di samping itu, Ghul ini berkaitan dengan makhluk dunia bawah Galla dalam kepercayaan orang Sumeria. Lamashtu yang juga dikenali sebagai Labartu dipercayai sebagai makhluk ghaib berjantina perempuan yang memakan bayi. Lamassu atau Shedu pula menjadi semangat penjaga yang kadang-kala cenderung juga melakukan kejahatan.

Orang Assyria pula mempercayai Alu, yang kadang-kala digambarkan sebagai jin angin yang berdiam di runtuhan purba. Mereka akan menyelinap masuk ke rumah orang pada malam hari serta mengacau mimpi orang. Ginnaye juga wujud di kota Palmyra dan dipercayai bahawa perkataan ginnaye ini kemudian menyerap masuk ke dalam kepercayaan orang Romawi yang menyebutnya sebagai genii. Seperti juga jin dalam kepercayaan masyarakat badwi pada zaman moden, ginnaye ini dipercayai menyerupai manusia. Mereka melindungi kafilah, lembu dan perkampungan di padang pasir. Selain itu, mereka melindungi sanggar penyembahan yang dibangunkan untuk menghormati mereka. Mereka selalunya diseru secara berpasang-pasangan.

Jin dalam Agama Yahudi

Penjelasan mengenai jin ini adalah hampir serupa dengan shedim dalam kepercayaan orang Yahudi. Seperti juga jin, sesetengah shedim dipercayai mengikuti syariat nabi Muhammad manakala sesetengah lagi dipercayai mengikuti syariat nabi Musa serta dianggap sebagai makhluk yang baik. Shedim ini halimunan dan tidak kelihatan di mata manusia biasa namun mereka juga mempunyai hawa nafsu seperti makan, minum dan membiak. Sesetengah sumber agama Yahudi bersetuju dengan sebutan dalam agama Islam bahawa shedim ini menghuni dunia sebelum kemunculan manusia. Selain itu, disebutkan bahawa Asmodeus, muncul sebagai seorang shedim atau jin yang menjadi anatagonis dalam kisah nabi Sulaiman.

Jin dalam Agama Nasrani

Terjemahan Kitab Perjanjian Lama dalam bahasa Arab oleh Van Dyck menggunakan kata jamak jann bagi menjadi padanan kata untuk bahasa Ibrani. Ia selalunya diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris sebagai 'familiar spirit' di beberapa tempat dalam Kitab Perjanjian Lama seperti berikut:

  • Leviticus 19:31 dan 20:6
  • 1 Samuel 28:3, 7 dan 9
  • 1 Chronicles 10:13
Sesetengah sarjana tradisi Nasrani membahaskan bahawa jin ini boleh jadi sebanding dengan malaikat yang jatuh. Sebanding dengan gambaran boleh Augustine mengenai malaikat yang jatuh ini sebagai makhluk yang halus dan ghaib, jin juga mempunyai penjelasan yang sama. Walaupun rujukan mengenai malaikat yang jatuh ini tidak ditemui dalam al-Quran, namun jin masih lagi berbeza dari segi ciri utamanya dengan malaikat yang jatuh. Hal ini kerana, malaikat-malaikat tersebut terjatuh dari syurga sedangkan jin tidak. Jin-jin itu pula dijelaskan cuba untuk naik ke syurga bagi mencuri dengar berita dari para malaikat.