Ifrit

Ifrit ini adalah sebangsa makhluk ghaib yang berkuasa dalam kepercayaan agama Islam. Ifrit dikaitkan dengan dunia bawah dan dikenalpasti dengan roh orang yang sudah meninggal dunia. Mereka ini sebanding dengan genius loci yang jahat dalam kebudayaan Eropah atau penunggu dalam kebudayaan Melayu.

Dalam kitab suci al-Quran, kitab hadis dan riwayat mikraj istilah ifrit ini diikuti dengan frasa "... dalam kalangan jin." Dalam penglipurlara yang kemudian, watak ifrit ini berkembang menjadi entiti yang bebas dan dikenalpasti sebagai syaitan atau roh mereka yang sudah meninggal dunia dan menjadi penunggu di tempat-tempat terbiar seperti puing runtuhan bangunan atau kuil-kuil. Kediaman sebenar mereka adalah di dunia bawah.

Etimologi Perkataan Ifrit

Perkataan ifrit ini terbit dari kitab suci al-Quran sendiri namun ia hanyalah nama lain dan bukan merujuk kepada syaitan yang khusus. Istilah ini tidak pernah wujud dalam syair-syair Arab pra-Islam walaupun perkataan lain seperti ifriya dan ifr memang pernah direkodkan wujud sebelum kitab suci al-Quran diwahyukan kepada nabi Muhammad.

Secara tradisinya, ahli filologi bahasa Arab menjejaki istilah ini dari perkataan 'afara yang bermaksud bersalut dengan debu atau yang dibaluti debu. Perkataan ini kemudiannya digunakan untuk merujuk kepada perwatakan yang penuh tipu daya, jahat, merosakkan dan penuh muslihat. Ahli filologi bahasa Arab dari Barat pula mencadangkan bahawa perkataan ifrid ini sebenarnya adalah pinjaman dari bahasa Parsi pertengahan iaitu afritan yang sebanding dengan perkataan bahasa Parsi moden afridan yang bermaksud mencipta namun hal ini disanggah oleh ahli filologi yang majoriti.

Dalam penglipurlara lagi, istilah ini kemudian berkembang menjadi rujukan kepada sejenis bangsa syaitan yang khusus walaupun ulama-ulama Islam menganggapnya hanya sebagai kata adjektif. Kepercayaan ini menjadi popular dalam penulisan seperti dalam kitab Mustatraf oleh al-Ibshihi. Ifrid kemudian dikenalpasti sama ada sebagai sejenis syaitan yang menjadi pemangsa wanita atau sebagai roh orang mati.

Ifrit dalam Rujukan Islam

Dalam rujukan agama Islam, istilam ifrit ini selalu diikuti oleh ungkapan "dalam kalangan jin". Disebabkan makna jin yang kabur ini, ia digunakan bagi merujuk kepada sebilangan besar semangat dan roh yang menjadikan hubungannya dengan jenis jin ini menjadi kabur. Walau bagaimanapun, dalam rujukan sastera Islam sendiri istilah ini jelas digunakan sebagai nama lain bagi menggambarkan mengenai sejenis makhluk halus yang berkuasa dari sifat yang tidak dapat ditakrifkan oleh sesiapa.

Kitab suci al-Quran sendiri menyebut mengenai ifrit dalam Surah an-Naml (27:38-40). Ifrit menawarkan untuk menanggung takhta Balqis dari kerajaan Sabaa di Arab Selatan ke istana nabi Sulaiman. Walau bagaimanapun tugasan itu tidak diberikan kepada ifrit tersebut sebaliknya diberikan kepada seorang manusia yang bijaksana dan berpengetahuan dalam kitab suci. Dalam hadis Bukhari diriwayatkan mengenai cubaan ifrit mengganggu solat nabi Muhammad semasa baginda dalam perjalanan isra'. Ia dicatitkan oleh Malik bin Anas pada abad ke-8 masihi. Dalam riwayat kemudian, disebutkan mengenai "ifrit dalam kalangan jin" yang mengancam nabi Muhammad dengan kehadirannya yang berapi. Di situ malaikat Jibril mengajarkan doa kepada nabi Muhammad supaya baginda dapat mengalahkan ifrit tersebut.

Ifrid dalam Penglipurlara Muslim

Dalam penglipurlara Muslim, ifrit ini adalah sejenis semangat dunia bawah yang mendiami petala bumi tujuh. Mereka umumnya digambarkan sebagai kejam, jahat dan terbentuk dari asap serta api. Walaupun mereka digambarkan sevara negatif dan dikaitkan dengan dunia bawah, namun mereka tidak semestinya jahat dari segi akhlak. Mereka boleh juga membawa tujuan ciptaan dari Tuhan. Mereka membalas dendam dan menuntut bela. Ifrit juga boleh diikat oleh seorang ahli sihir dan diseru sebagai khadam.

Ifrit di Mesir

Walaupun ifrit tidak semestinya menjadi satu komponen dalam tubuh manusia dan menjadi entiti bebas, namun terdapat kepercayaan umum di Mesir bahawa ifrit ini dikaitkan dengan sebahagian daripada jiwa manusia. Kemungkinan, dipengaruhi oleh kepercayaan Mesir purba iaitu Ka. Ifrit ini dikenalpasti sebagai roh orang yang sudah mati dan berdiam di kubur-kubur. Mereka merayau-rayau di tempat orang yang sudah mati itu selalu melawat atau merayau-rayau di tempat kematian itu sehingga hari kiamat. Orang yang meninggal dunia secara biasa tidak menghasilkan ifrit sebaliknya mereka yang dibunuh kejam akan mencetuskan jin ifrit yang garang dan ganas. Menurut kepercayaan orang Mesir, mencelup paku baru dalam darah boleh menghalang pembentukan ifrit. Ifrit ini boleh menakutkan dan membunuh orang yang membunuh orang yang dibunuh itu. Syahid, wali keramat dan nabi tidak mempunyai hantu maka mereka tidak menghasilkan ifrit.

Ifrit di Maghribi

Dalam kepercayaan di Maghribi, ifrit adalah sejenis syaitan yang berkuasa jika dibandingkan dengan jin dan lain-lain makhluk halus. Kewujudan mereka adalah lebih halus namun dari segi kapasiti dan skala, mereka adalah lebih besar berbanding dengan syaitan lain. Rupa selalu digambarkan sebagai hodoh dan buruk. Mereka digambarkan mempunyai kuku tajam, mata berapi dan tujuh kepala.

Seperti jin, mereka juga boleh merasuk seseorang. Orang yang dirasuk ifrit ini akan mempunyai perwatakan seperti ifrit, kuat, berani dan boleh menjadi gila. Ifrit boleh dipaksa melakukan sesuatu kerja seperti menanggung batu dengan penggunaan cincin ajaib.

Ifrit di Iraq Utara

Dalam masyarakat Shabak, ifrit melakukan kejahatan sejak sebelum kewujudan nabi Adam. Hal ini menyebabkan Ali merantai ifrit dan meninggalkannya. Apabila para nabi tiba, ifrit muncul di depan mereka dan memohon supaya mereka melepaskannya namun tiada seorang pun nabi yang mampu memutuskan rantai tersebut. Apabila nabi Muhammad bertemu dengan ifrit, baginda membawanya kepada Ali. Ali lalu berbelas kasihan terhadap ifrit lalu melepaskannya dengan syarat bahawa ifrit harus tunduk dengan perintah Allah.

Ifrit dalam Cerita Rekaan

Ifrit muncul dalam syair-syair awal contohnya seperti dalam syair al-Ma'ari (973- Mei 1057) yang menggambarkan watak protagonis melawat syurga dengan "selat sempit" dan "lembah gelap" untuk ifrit, antara syurga dan neraka.

Dalam karya terkemudian, ifrit disebut dalam hikayat yang dikumpulkan dalam Seribu Satu Malam. Dalam satu kisah dalam hikayat ini berjudul "Pengangkut dan Gadis", seorang putera telah diserang oleh lanun dan ditawan bersama dengan seorang pemotong kayu. Putera itu menemui bilik bawah tanah dalam hutan yang membawa baginda kepada seorang wanita jelita yang diculik oleh seekor ifrit. Putera itu tidur bersama dengan wanita itu dan kedua-dua mereka pun diserang oleh ifrit yang cemburu. Ifrit itu mengubah putera itu menjadi seorang beruk. Kemudian, seorang wanita mengembalikan putera itu ke rupa asalnya dan berlaku pertarungan antara baginda dengan ifrit. Ifrit itu menjelma menjadi pelbagai rupa seperti haiwan, buah dan api sehinggalah menjadi bara api. Dalam kisah "Nelayan dan Jin", seekor ifrit dikurung dalam sebuah takar menggunakan cap mohor nabi Sulaiman. Namun, ia dilepaskan dari takar itu sebelum diperdayakan oleh nelayan supaya masuk semula ke dalam takar itu. Dengan syarat bahawa ifrit akan membantunya mencapai kekayaan, maka nelayan pun melepaskan ifrit. Kemudiannya, ifrit itu berubah menjadi marid iaitu sejenis syaitan yang juga kuat dan memperdayakan semula watak protagonis tersebut. Kisah jin yang dilepaskan dari takar ini akhirnya menjadi popular dalam gambaran Barat mengenai jin.

Ifrit juga menjadi watak utama dan antagonis dalam thriller fiksyen "Ifrit" yang ditulis oleh Javaid Laghari dan diterbitkan oleh Austin Macauley. Dalam buku tersebut, ifrit kembali semula ke bumi bagi membalas dendam untuk tuannya, Iblis kerana ia dilempar dari syurga.

Dalam zaman pasca moden, ifrit seringkali menjadi watak dalam filem dan permainan video. Dalam permainan video Final Fantasy, ifrit muncul sebagai semangat yang boleh diseru dan sebagai musuh. Seperti dalam penglipurlara, ifrit digambarkan sebagai semangat api dan boleh menggunakan serapah yang digelar sebagai api neraka. Dalam musim ke lima True Blood (2012, ifrit membalas dendam atas pembunuhan seorang awam Iraq oleh tentera Amerika Syarikat. Dalam novel American Gods (2001) dan penyesuaian televisyen oleh Neil Gaiman, ifrit menyamar sebagai seorang pemandu teksi cuba menyesuaikan dirinya dengan watak barunya dan mencari hubungan rapat demi menghilangkan rasa kesunyiannya.