Ghoul bermaksud manusia yang berupa raksasa atau makhluk seperti syaitan yang berasal dari agama Arab pra-Islam. Ghoul dikaitkan dengan tanah perkuburan dan memakan daging manusia. Dalam cerita rekaan moden, istilah ini sering digunakan untuk merujuk kepada makhluk abadi yang ganas. Dalam konteks penggunaannya pula, perkataan ghoul ini boleh juga digunakan untuk merujuk kepada seseorang yang menyukai perkara yang menggerunkan atau pekerjaan seseorang yang berkaitan dengan kematian seperti penggali kubur atau perompak kubur.
Ghoul dalam Penglipurlara
Ghoul dalam bahasa Arab berasal dari kata kerja akar yang bermaksud 'menahan'. Dalam bahasa Arab, istilah ini kadangkala digunakan untuk menggambarkan sikap seseorang yang tamak dan bakhil. Istilah ini pertama kalinya digunakan dalam sastera Inggeris pada tahun 1786 dalam novel berjudul Vathek oleh William Beckford, seorang orientalis yang menceritakan mengenai ghoul dalam penglipurlara Arab. Definisi ghoul ini bertahan sehingga ke zaman moden apabila ghoul turut muncul dalam kebudayaan popular.
Menurut penglipurlara Arab, ghoul ini berdiam di kubur-kubur dan kawasan terpencil yang tiada manusia. Ghoul terbahagi kepada jantina jantan dan betina. Ghoul betina digelarkan sebagai ghoulah. Dalam satu sumber yang tidak diketahui puncanya, terdapat kisah seekor ghoul betina yang digelar sebagai umm ghoulah atau makcik ghoul yang sering menggoda watak malang, selalunya lelaki masuk ke sarangnya di mana ia memakannya di situ.
Sesetengahnya lagi menyatakan bahawa ghoul ini tinggal di padang pasir, boleh berubah rupa dan mengambil rupa haiwan terutamanya dubuk. Ia menggoda orang yang leka ke padang pasir kosong atau tempat yang tiada manusia lalu menyembelih orang itu dan memamah dagingnya. Makhluk halus ini juga mencari kanak-kanak, minum darah, mencuri wang, memakan orang dan mengambil rupa orang yang dimakan olehnya. Terdapat juga kisah ghoul yang dikenali sebagai Ghul-e-Biyaban yang dikatakan mendiami kawasan terpencil di Afghanistan dan Iran.
Masyarakat Eropah mengenali idea ghoul ini menerusi terjemahan Hikayat Seribu Satu Malam ke dalam bahasa Perancis oleh Antoine Galland. Ghoul digambarkan sebagai makhluk menyeramkan yang tinggal di kuburan dan memamah mayat.
Di Asia Tengah, ghoul juga menjadi sebahagian daripada penceritaan masyarakat di Iran. Di Asia Timur, Tokyo Ghoul menjadi watak dalam manga di Jepun. Ia mengambil rupa manusia apabila ia marah atau lapar. Kisah seram popular atau creepypasta dikenali sebagai Lazari turut memaparkan makhluk seperti ghoul yang bernama Lazari. Makhluk itu adalah jelmaan seorang gadis kecil yang berubah menjadi setan serta memakan mayat. Dalam filem Come Play, watak antagonis utama adalah makhluk ghoul berbentuk seperti tengkorak yang memakan kanak-kanak tidak berdosa. Filem Coraline juga memaparkan watak ghoul memakan kanak-kanak secara hidup-hidup.
Ghoul dalam Pandangan Agama Islam
Walaupun ghoul ini tidak pernah menjadi sebahagian daripada riwayat dalam kitab suci Islam namun sesetengah penafsir al-Quran meriwayatkan juga mengenai asal-usul makhluk halus ini. Menurut salah satu riwayat yang dipetik dari laman sesawang Iranica Online, suatu ketika dahulu para syaitan pernah cuba naik ke alam syurga dan mencuri dengar berita-berita dari sana untuk dibawa kembali ke alam bumi bagi mendedahkannya kepada tukang ramal masa depan.
Menjelang kelahiran nabi Isa al-Masih a.s, tiga lapisan alam syurga telah menjadi kawasan larangan kepada syaitan. Kelahiran nabi Muhammad s.a.w menjadikan empat lapisan alam syurga dilarang kepada para syaitan. Dalam kelompok syaitan ini, Marid adalah kelompok yang masih berdegil dan cuba untuk naik ke alam syurga. Walau bagaimanapun, mereka dipanah oleh tahi bintang sebelum mereka berjaya mendekati alam syurga. Jika tahi bintang tidak membunuh mereka, maka mereka akan menjadi cacat dan gila akibat panahan tersebut. Mereka lalu jatuh di rantau gurun tandus dan dilaknat sehingga merayau-rayau di bumi sebagai ghoul.
Amira el-Zein dalam 'Islam, Arabs and the Intelligent World of the Jinn' pada tahun 2009 menyatakan bahawa dipercayai ghoul ini adalah dalam kalangan bangsa jin yang boleh dimasukkan ke dalam lingkungan penganut agama Islam jika seseorang itu membaca ayat kursi dari Surah al-Baqarah kepadanya.
Ghoul dalam Kebudayaan Popular
Ghoul turut dijadikan watak dalam cerpen berjudul Pickman's Model oleh H.P. Lovecraft. Kemudian, ia muncul lagi dalam sebuah novella berjudul The Dream-Quest of Unknown Kadath hasil karangan penulis ini.
Pada tahun 1974, papan permainan video Dungeons & Dragons memaparkan watak ghoul sebagai seteru yang bertaraf rendah tapi tidak mati-mati. Ia dilengkapi dengan serangan cakaran dalam permainan peranannya. Pada tahun 1977 pula, watak tiga ekor ghoul muncul sebagai seteru yang diseru dalam filem berjudul Sindbad and the Eye of the Tiger.
Pada tahun 1981, filem antologi dari Britain berjudul The Monster Club memaparkan kisah pendek berjudul 'The Ghouls' dengan keseluruhan komuniti sebuah kampung itu didiami oleh ghoul.
Pada tahun 1997, sebuah permainan video dunia terbuka berjudul Fallout: A post-nuclear role-playing game diterbitkan dengan ghoul muncul sebagai watak bukan pemain sama ada yang mesra atau yang ganas. Ghoul juga menjadi pengulangan dalam permainan francais seperti Fallout 2: A post nuclear role playing game, Fallout Tactics: A post-nuclear tactical-combat game dan Fallout 3 & Fallout New Vegas.
Pada tahun 2002, permainan strategi real-time berjudul Warcraft III menampilkan ghoul sebagai satu unit yang digunakan untuk menebang balak dan berperang sebagai sebahagian daripada Cambuk Hantu. Dalam sekuel MMORPG, World of Craft, ghoul muncul lagi sebagai seteru hantu yang berulang-ulang dalam permainan. Ia boleh diseru sebagai haiwan peliharaan oleh golongan kesateria kematian.