Perkataan jin ini digunakan dalam masyarakat Melayu yang majoritinya beragama Islam. Etimologi atau asal-usul perkataan jin ini berasal dari akar kata nama am dalam bahasa Samiah iaitu "junnun" yang bermaksud sembunyi atau sesuaikan diri. Sesetengah penulis kemudian menafsirkan pula perkataan ini menjadi makhluk yang tersembunyi dari deria. Perkataan terbitan dari kata nama am ini adalah majnun (gila), jannah (syurga) dan janin (embrio). Perkatan jin ini dianggap sebagai kata jamak dalam bahasa Arab dengan bentuk mufradnya adalah jinni.
Asal-usul kata jin ini masih lagi tidak diketahui. Sesetengah sarjana mengaitkan istilah bahasa Arab ini dengan perkataan genius dalam bahasa Latin hasil dari persenyawaan antara kebudayaan Arab dengan kebudayaan Romawi dibawah pemerintahan maharaja Tiberius Augustus. Walau bagaimanapun, teori ini masih lagi dibahaskan.
Terdapat juga sarjana yang berpegang bahawa perkataan jin ini diterbitkan dari bahasa Aram iaitu ginnaya yang bermaksud dewa pelindung atau taman. Sesetengah lagi mendakwa bahawa perkataan ini berasal dari bahasa Parsi Avesta iaitu Jaini merujuk kepada semangat atau roh wanita. Jaini ini merujuk kepada pelbagai jenis makhluk yang mungkin wujud dalam kepercayaan orang Parsi sebelum kemunculan ajaran Zoroaster.
Bentuk bahasa Inggeris untuk perkataan jin iaitu genie ini dipinjam dari bahasa Perancis iaitu genie yang diambil dari bahasa Latin iaitu genius untuk merujuk kepada semangat pelindung tempat-tempat dalam agama Romawi. Perkataan ini muncul pertama kalinya di dunia Barat dalam terjemahan Hikayat Seribu Satu Malam ke dalam bahasa Perancis pada abad ke-18 masihi. Perkataan ini digunakan kerana ia berbunyi hampir sama dengan perkataan dalam bahasa Arab dan merujuk juga kepada semangat yang tidak jahat berbeza dengan semangat jahat yang bergelar syaitan serta berbeza dengan malaikat dalam kesusasteraan Timur Tengah. Dalam kesenian Assyria, makhluk yang pada kejadiaannya berada antara manusia dan malaikat itu disebut sebagai jin.