Bahasa Arab

Bahasa Arab adalah merupakan bahasa dari rumpun bahasa Samiyah yang didakwa telah berada di muka bumi sejak abad pertama sehingga abad keempat masihi. Bahasa Arab kini menjadi lingua franca yang menghubungkan negara-negara berbahasa Arab. Bahasa ini dinamakan bersempena nama bangsa Arab iaitu istilah yang awalnya merujuk kepada sekelompok manusia yang tinggal di kawasan yang bersempadan dengan Mesopotamia di timur dan pergunungan selepas Lebanon di barat. Selain itu merujuk kepada mereka yang berada di barat daya Semenanjung Tanah Arab dan Semenanjung Sinai.

ISO memberikan kod kepada kesemua 30 loghat bahasa Arab termasuklah untuk bentuk standardnya iaitu Bahasa Arab Standard (MSA) yang dirujuk sebagai Bahasa Arab Persuratan. Bahasa Arab Standard ini sebenarnya adalah bentuk Bahasa Arab Klasik yang telah dipermoden untuk tujuan komunikasi. Pembezaan ini muncul awalnya dalam kalangan ahli linguistik Barat. Penutur bahasa Arab sendiri sebenarnya tidak pernah membezakan Bahasa Arab Standard dengan Bahasa Arab Klasik. Mereka hanya merujuk bahasa standard mereka sebagai Bahasa Arab Fasih sahaja.

Bahasa Arab diajar secara meluas di sekolah dan universiti. Ia digunakan dalam pelbagai peringkat di tempat kerja, jabatan kerajaan dan media. Bahasa Arab dalam bentuk standard menjadi bahasa rasmi bagi 26 negara di Timur Tengah dan menjadi bahasa keagamaan bagi penganut agama Islam kerana sumber rujukan mereka iaitu al-Quran dan Hadith ditulis dalam bahasa Arab.

Semasa zaman pertengahan, bahasa Arab menjadi wahana utama dalam perkembangan pendidikan di Eropah terutamanya dalam sains, matematik dan falsafah. Hasilnya, kebanyakan bahasa Eropah turut meminjam perkataan dari bahasa Arab. Pengaruh perbendaharaan kata bahasa Arab dalam bahasa-bahasa di Eropah ini terlihat dalam bahasa Sepanyol dan sedikit dalam bahasa Portugis serta bahasa Catalan. Jarak negara masyarakat Eropah beragama Nasrani dengan tamadun Arab Islam yang dekat serta pengaruh dari kewujudan kebudayaan serta bahasa Arab di selatan Iberia semasa era Andalusia menyebabkan berlakunya tempiasan. Sicily turut menyerap sebanyak 500 patah perkataan bahasa Arab yang kebanyakannya melibatkan pertanian dan kegiatan yang berkaitan dari warisan Emiriah Sicily semenjak abad ke-9 sehingga abad ke-10 masihi. Dalam pada itu, bahasa Malta turut berkembang dari loghat bahasa Arab yang ditulis dengan huruf Latin. Di samping itu, bahasa Balkan seperti bahasa Yunani dan bahasa Bulgaria turut menyerap perkataan dari bahasa Arab menerusi hubungan mereka dengan empayar Turki Osmaniah.

Bahasa Arab turut meminjam perbendaharaan kata dari bahasa lain seperti bahasa Parsi, bahasa Ibrani, bahasa Yunani dan bahasa Aram. Pada zaman moden, bahasa Arab masih lagi meminjam kosa kata dari bahasa moden lain seperti bahasa Inggeris serta bahasa Perancis. Sebagai bahasa keagamaan, bahasa ini digunakan oleh lebih kurang 1.8 billion penganut agama Islam. Ia turut menjadi bahasa rasmi di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.