Tujuan perbincangan haruslah mengelakkan sangkaan dan perasaan bahawa pendakwah berniat untuk menyerang akidah dan kepercayaan yang dijunjung dan dipertahan oleh pendengar dakwah!
Hal ini bukanlah semudah menukar sarung buah nangka kerana keimanan melibatkan hal-hal jiwa serta rohaniah individu tersebut. 'Pendakwah' yang terus-terus menyerang akidah orang lain, tidak sesuai untuk menjalankan kerja-kerja dakwah. Sila rujuk sifat fatanah dalam empat ciri utama nabi Muhammad s.a.w.
Pendakwah mesti bertindak sebagai seorang sahabat kepada pendengar dakwah ketika berbincang atau membahaskan sesuatu isu. Pendakwah pun sebenarnya sama-sama mencari kebenaran dengan si pendengar dakwah. Oleh itu, pendakwah wajib menghormati perbezaan fikiran dan kepercayaan temannya walaupun tidak bersetuju.
Dalam suasana ini, pendakwah mestilah hidup bersama-sama dengan pendengar dakwah dalam perjuangan fikiran dengan tenang, tiada sikap-sikap tercela seperti berasa lebih tinggi atau lebih pandai daripada makhluk Allah Ta'ala yang lain, tiada rasa ego untuk mempertahan diri atau menjaga imej kedudukan diri. Pendakwah mesti turut seberapa yang boleh untuk mencari kebenaran.
Tiada sesiapa yang menang atau kalah. Masing-masing pendakwah dan pendengar dakwah masih boleh saling hormat menghormati kerana 'perbincangan' merupakan sejenis kerjasama untuk mencari kebenaran. Kaedah ini, boleh dijalankan menurut sunnah nabi Muhammad s.a.w.
Firman Allah Ta'ala bermaksud:
"Katakanlah (wahai Muhammad): "Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada agama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata. Dan aku menegaskan: Maha Suci Allah (dari segala iktikad dan perbuatan syirik) dan bukanlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain" - Surah Yusuf 12:108.