Mazhab Jariri

Mazhab Jariri muncul dari karya Muhammad b. Jarir al-Tabari. Tokoh ini hidup di kota Baghdad sekitar abad ke-9 dan ke-10 M. Penuntut dan pengikut mazhab fekah ini berkurangan sehingga pupus terus.

Prinsip-Prinsip

Mazhab ini sering bertelingkah dan bercanggah dengan mazhab Hanbali. Pendekatan mazhab ini lebih bebas apabila melibatkan peranan wanita dalam ibadat dan pentadbiran. Contohnya, ia berpandangan bahawa wanita boleh menjadi qadhi dan mengimami solat untuk lelaki.

Mazhab ini turut bercanggah dengan mazhab Hanafi berkenaan isu kesesuaian qadhi di mahkamah dengan pendapat mazhab ini dipangkah secukup-cukupnya.

Berkenaan persetujuan dalam isu-isu Syariah, mazhab ini berpegang kepada amalan zaman Sahabat dan persetujuan mesti didasarkan kepada kitab-kitab muktabar yang sudah pun tersedia.

Pensyarah Universiti Oxford, Dr. Christopher Melchert memberi gambaran bahawa mazhab ini sebagai mazhab separa rasional, serupa dengan mazhab Syafi'ie. Ia turut berkongsi beberapa ciri lain dengan pandangan mazhab Zahiri.

Muhammad b. Jarir al-Tabari

Beliau lahir di Amol, Tabaristan, kira-kira 20 km ke selatan Laut Caspia dalam musim sejuk sekitar 838-839 M. Beliau hafal al-Quran ketika berusia tujuh tahun serta layak mengimami solat ketika berusia lapan tahun. Kemudian, beliau memulakan pelajaran hadis pada umur sembilan tahun.

Pada 236 H (850-851 M), beliau keluar menuntut ilmu dan waktu itu, usianya 12 tahun. Beliau tetap meneruskan hubungan dengan tempat kelahirannya. Beliau balik ke kampung sekurang-kurangnya dua kali. Kali terakhir, beliau pulang pada 290 H (903 M), apabila kata-kata terus-terang beliau menyebabkan orang sekeliling kurang senang. Beliau keluar terus dari situ tidak pulang-pulang lagi.

Beliau mula berkelana ke Ray (Rhage) di Iran dan belajar di situ selama lima tahun. Guru muktabar di situ adalah Abu Abdillah Muhammad ibn Humayd al-Razi. Guru tersebut mengajar sebelumnya di kota Baghdad dan mengajar di Ray ketika itu pada usia 70-an. Semasa di kota Ray, Muhammad belajar fekah mengikut pandangan mazhab Hanafi. Beliau diajar Sirah Kehidupan Muhammad s.a.w karya Ibnu Ishaq. Sejak remaja lagi, beliau diperkenal kepada sejarah zaman sebelum Islam dan selepas Islam. Muhammad sering memetik sumber dari Ibnu Humayd. Kurang diketahui pula mengenai guru-guru beliau yang lain di kota Ray.

Beliau berkelana ke kota Baghdad untuk berguru dengan Ahmad bin Hanbal. Namun, tokoh tersebut meninggal dunia tidak lama selepas ketibaannya di Baghdad sekitar lewat 855 M dan awal 856 M. Kemungkinan, sebelum tiba di Baghdad, beliau pergi berhaji di kota suci Mekah dulu. Beliau keluar dari Baghdad sekitar 242 H (856-857 M) dan berkelana sekitar kota-kota di selatan seperti Basrah, Kufah dan Wasit. Di situ, beliau bertemu pelbagai ulama tersohor dan dihormati.

Sebagai tambahan, beliau turut mengaji fekah-fekah mengikut pandangan Syafi'ie, Maliki dan Zahiri. Pengajian fekah Zahiri berlaku terus dengan beliau berguru bawah Dawud al-Zahiri. Muhammad menyalin karya guru tersebut dengan tangan dan turut menyebarkannya kepada yang lain.

Muhammad menguasai keempat-empat mazhab tersebut sebelum mengasaskan mazhab fekahnya sendiri yang akhirnya pupus. Perdebatan beliau dengan guru-guru dan rakan seperguruannya terkenal dan menjadi petunjuk bahawa beliau mampu berijtihad untuk mengeluarkan hukum.

Beliau tidak sempat belajar dengan Ahmad bin Hanbal yang mazhabnya kini terkenal dalam kalangan sebilangan Muslim mazhab Sunnah moden. Pandangan beliau terhadap Ahmad bin Hanbal kemudian mencondong kepada negatif. Beliau langsung tidak memandang berat atau memberi kepentingan terhadap pandangan Ibnu Hanbal apabila mempertimbang pelbagai pandangan ahli fekah dan qadhi. Beliau menyatakan bahawa ulama tersebut belum pernah menjadi seorang qadhi pun, tetapi cuma seorang pencatit hadis.

Selepas kepulangannya ke kota Baghdad, beliau menjadi guru selepas dilantik oleh bekas wizurai, Ubaydallah b. Yahya b. Khaqan. Ia berlaku sebelum 244 H (858 M) sejak wizurai tersebut dimakzulkan dan dibuang negeri dari 244-248 H (858-862 M). Khabar angin menyebut bahawa Muhammad bersetuju untuk mengajar dengan bayaran gaji sebanyak 10 keping dinar sebulan. Pengajaran beliau begitu berkesan sehingga penulisan anak kecil menjadi begitu menarik. Beliau menerima sedulang wang dinar dan dirham lagi. Beliau menolak saguhati tersebut kerana sudah pun mempunyai gaji. Beliau mementingkan maruah dan enggan menerima hadiah.

Lewat 20-an, beliau pun mengembara ke Syria, Mesir dan Palestin. Di kota Beirut, beliau bertemu dengan al-Abbas b. al-Walid b. Mazyad al-'Udhri al-Bayruti (c.169-270 H/785-6 to 883-4 H). Tokoh tersebut mengajar Muhammad cara langgam membaca Quran mengikut sebutan orang Syria menerusi sanad bapanya, al-Walid, seorang bekas qadhi terkenal mazhab al-Awza'i di Beirut.

Beliau tiba di Mesir pada 253 H (867 M), dan tak lama selepas 256 H (870 M) beliau kembali ke Baghdad. Kemungkinan, beliau sempat singgah di Hejaz untuk berhaji. Beliau turut menerima bantuan kewangan dari bapa beliau semasa beliau masih hidup dan mempunyai harta pusaka. Wang tersebut diguna untuk mengajar.

Dalam kalangan pelajar beliau adalah Ibnu al-Mughallis, yang juga guru kepada Muhammad bin Dawud al-Zahiri. Ibnu al-Mughallis memuji beliau sesungguhnya. Beliau tak pernah berkhidmat untuk kerajaan atau memegang jawatan hakim.

Beliau berusia kira-kira 50 tahun ketika al-Mu'tadid naik menjadi khalifah. Beliau menerbitkan kitab Sejarahnya ketika berusia 70-an. Ketika tahun-tahun selang tersebut, beliau muncul terkenal sebagai tokoh penuh kontroversi.

Dalam kalangan tokoh-tokoh sezaman, beliau boleh mendapat sumber-sumber maklumat seperti orang lain juga. Mungkin beliau berhubung dengan mereka yang terlibat dalam pembuatan keputusan di pihak kerajaan. Kebanyakan bahan-bahan untuk sejarah bagi al-Mu'tadid, al-Muktafi, dan tahun-tahun awal al-Muqtadir dikumpul beliau ketika kejadian sedang berlaku. Simpanan rekod-rekod sejarah beliau diperkira sebagai sah berlaku untuk zaman tersebut.

Tahun-tahun terakhir beliau ditandai dengan pertelingkahan dengan pengikut-pengikut mazhab Hanbali seperti Al-Hasan ibn 'Ali al-Barbahari, salah seorang pelajar kepada pelajar-pelajar ibn Hanbal. Muhammad memang sudah diketahui tidak mengiktiraf pandangan-pandangan ibn Hanbal sebagai mazhab fekah tersendiri, sebaliknya tokoh tersebut cuma dilihatnya seorang pengumpul sunnah dan bukannya seorang qadhi.

Pengikut mazhab Hanbali di Baghdad selalunya merejam batu di rumah tokoh ini, bertinda liar sehingga menyebabkan pihak kerajaan Abbasiah terpaksa menenangkan keadaan dengan kasar juga. Ketua polis di Baghdad cuba menganjurkan perdebatan umum antara Muhammad Tabari dengan pengikut mazhab Hanbali untuk menyelesaikan perbezaan pendapat. Muhammad Tabari menerima pelawaan tersebut, namun pengikut mazhab Hanbali tidak muncul pun. Mereka datang kemudiannya merejam rumah Muhammad Tabari lagi. Keganasan ini menghantui hidup tokoh ini sehingga ke akhir hayatnya.

Muhammad Tabari meninggal dunia pada Isnin, 17 Feb 923. Pihak pemerintah Abbasiah mengebumikan jasad tokoh ini di tempat tersembunyi untuk mengelakkan keganasan pengikut-pengikut mazhab Hanbali. Walaupun begitu, beliau tetap dihormati oleh tokoh-tokoh sezaman seperti ibn Duraid, seorang ilmuan Arab. Pengikut-pengikut mazhab Hanbali dikutuk oleh pemerintah secara keseluruhannya kerana bertindak ganas terhadap orang yang tidak sehaluan dengan mereka kira-kira sedekad kemudian.

Ciri-Ciri Peribadi Muhammad b. Jarir al-Tabari

Beliau dijelaskan berkulit gelap, bermata besar dan berjanggut panjang. Beliau tinggi orangnya dan kurus. Rambut dan janggutnya kekal hitam sehingga ke tua.

Beliau sangat prihatin dengan kesihatan diri sendiri, mengelakkan daging merah, lemak serta makanan-makanan yang dilihatnya sebagai tidak sihat. Dekad terakhirnya itu, beliau menghidapi sakit keradangan di paru-paru. Beliau merawat diri sendiri dengan pemantauan tabib-tabib.

Beliau suka bergurau, tetapi beliau akan serius apabila membicarakan bidang-bidang pengajian yang serius. Beliau mempelajari syair semasa muda, suka menulis, membaca dan bertukar-tukar puisi. Beliau diceritakan pernah ditanyai mengena al-Tirimmah dan beliau pun membaca syair nukilan tokoh sastera abad ke-7 M itu untuk orang Mesir yang cuma pernah mendengar nama tersebut.

Beliau seorang yang pembersih, bersopan-santun dan bertamadun. Beliau mengelakkan percakapan kasar dan memberi contoh percakapan yang lancar tetapi penuh sopan. Tatabahasa asas beliau sangat bagus selain berpengetahuan dalam ilmu perkamusan dan sebutan. Ilmu-ilmu ini penting untuk ulasan kitab suci al-Quran. Beliau juga berbahasa Parsi, oleh itu beliau boleh mengesan kata-kata serapan asing dalam bahasa Arab yang menyerap perkataan-perkataan tersebut dari bahasa-bahasa asing.

Muhammad membujang sehingga ke tua. Beliau sehari-hari bangun awal pagi untuk bersolat, mengaji sehingga ke tengah hari, bersolat jemaah zohor di masjid, membaca dan mengajar al-Quran serta mengajar ilmu perundangan sehingga ke petang. Beliau meninggal dunia di Baghdad pada 17 Feb 923.

Rujukan

Klik di sini.