Pendahuluan Dakwah

Dakwah pertama rasulullah s.a.w kepada bukan Islam pada lingkungan yang rapat dengan baginda. Misalnya kepada kaum keluarga, saudara-mara dan sahabat akrab. Selepas itu baru lah kepada lingkungan yang lebih meluas. Selepas penduduk Mekah berhijrah ke Madinah, mereka bersama dengan penduduk Madinah yang menganut ajaran Islam sama-sama berganding bahu membentuk masyarakat Islam.

Sasaran Dakwah

Terbahagi kepada dua pula iaitu:

1. Bukan Muslim
2. Sesama Muslim

Dakwah kepada Bukan Muslim

Penekanan diberikan kepada menerima ajaran Islam dan ketauhidan. Berkat kepada usaha dakwah ini, ajaran Islam berkembang di lapan penjuru mata angin. Ia bermula dengan satu kesatuan masyarakat kecil yang terdiri daripada keluarga, qariah, para sahabat rasulullah s.a.w sampai lah ke lingkungan antarabangsa.

Cabaran dakwah kepada bukan Muslim ini terbahagi kepada empat ruang lingkup bahagian dakwah yakni:

1. Apa dia cara dakwah yang sesuai terhadap umat bukan Muslim yang beza-beza pula kepercayaan, ideologi fahaman dan kebudayaan.

2. Bagaimana hendak menghadapi pembangunan dan modernisasi dengan pelbagai ideologi fahaman serta agama kepercayaan?

3. Bagaimana patut keperibadian dan kemampuan pendakwah, kaedah atau apa cara dan saluran yang mana patut diperguna dengan tepat?

4. Cara mengenal dan memahami sasaran dakwah yang aneka ragamnya, taraf kedudukan dalam masyarakat yang beza-beza, taraf ekonomi, alam fikiran, suasana dan keadaan untuk dilancarkan dakwah.

Dakwah kepada Sesama Muslim

Dakwah dilaksanan khususnya untuk peningkatan dan penyempurnaan keimanan serta untuk kesempurnaan amalan ibadah. Masyarakat Muslim berbeza pula dengan masyarakat bukan Muslim dari segi istilah jadi cara hendak mendekati orang pun menurut kepada keadaan diri orang itu. Ini tidak, setengah kita mendekati orang dengan hardik perli. Kalau itu manhaj dakwah kita, makanya janganlah terkejut apabila pada akhirat kelak kita mendapati kita berada dalam keadaan papa.

Masyarakat Muslim merupakan masyarakat yang menghayati dan mengamalkan ajaran Islam secara lengkap. Ajaran Islam ini terbahagi kepada dua pecahan pula yakni pecahan agama dan kebudayaan. Makanya umat Islam menjalani kehidupan beragama dan juga berkebudayaan. Masyarakat Islam itu tak lengkap sekiranya tidak mengamalkan ajaran Islam dari segi kemasyarakatan, iktisadi, siasah, ilmu pengetahuan, falsafah dan kesenian. 

Hakikatnya, hari ini kebanyakan umat Islam hidup menurut kepada norma sekularisme. Dakwah kepada masyarakat Islam kini perlu lebih bertumpu kepada penekanan kepada proses peralihan kepada kejiwaan masyarakat Islam atau bersifat psikologi.

Persoalan pada Budaya Islam?

Persoalan aku pada bahagian yang ini, apa dia kebudayaan Islam yang spesifik itu? Adakah kebudayaan masyarakat Arab Islam? Atau budaya Melayu yang baru-baru ini sinonim dengan Islam menurut mazhab Syafi'ie? Atau budaya Bangladesh, Hindustan atau Pakistan? 

Apakah budaya Islam yang dimaksudkan itu? Apa dia falsafah Islam itu? Kalau segi syariah Islamiah asasi menurut kepada hadis qudsi, pertama dia kita berpegang kepada enam rukun iman itu. Bertitik tolak daripada itu, ajaran Islam terbina dari yang lima yakni rukun Islam. Kalau segi sunnah rasulullah s.a.w, baginda punya tradisi adalah bertumpu kepada keadaan hidup kemasyarakatan bagindalah. 

Baginda hidup di Mekah dan Madinah cuma baginda s.a.w tak terlibat dengan benda-benda yang tak halal seperti tidak berjudi, tidak bersujud kepada berhala, tidak menyekutukan Allah Ta'ala dengan makhluk-makhluk dan lain-lain. Kalau Muslim itu hidup di Russia macam mana? Kalau dia pakai pakaian berlainan daripada orang Mekah dan Madinah atas faktor cuaca, adakah dia sudah melanggar sunnah?

Kalau orang itu makan, misalnya makanan berlainan daripada penduduk Mekah dan Madinah, tapi statusnya halal dari segi bahan, penyediaan dan sembelihan cuma bentuk makanan mungkin makanan cara Maori atau cara orang Tongga. Adakah dia tak menurut ajaran Islam? Ramai orang nampak contohnya kalau aku tak pakai jubah, baju bangla atau kamiz benggali, tak pakai kopiah atas kepala. Tapi adakah maksudnya aku melanggar sunnah? Soalan aku, adakah aku berdosa pada sisi Allah Ta'ala sebab hal ini??? Adakah aku berdosa sebab aku tak makan nasi briyani dan tak makan chapati?

Pasal apa pendakwah Islam dari jemaah-jemaah Islam macam Bangla yang pakai tulisan Brahmi Benggali (aksara Hindu) pandang aku macam orang kafir bongok sangat tak tahu sunnah semua semasa nak berdakwah kepada aku sedangkan aku memang beragama Islam dari nenek moyang turun-temurun lagi dan aku menulis pakai tulisan Arab? 

Jadi persoalan aku, apakah dia budaya Islam yang spesifik? Kalau budaya Arab, aku dengan senang hatinya tak hairan nak mengikut. Sebab aku memang bangsa atau keturunan Arab. Kalau tidak, mai mana aku jadi orang Islam nenek moyang? Sunnah tu menatang apa sebenarnya? Wajib tu apa? Maka pada Syariah Islamiah kita, apa kedudukan sunnah, wajib, harus semua dan juga apa pendapat ulamak-ulamak muktabar? Pasal apa ada kategori ini semua? Jadi, mana satu budaya Islam yang spesifik?