Dewa Utama
Dewa utama bagi kebudayaan orang Nabati di sebelah utara Tanah Arab dikenali sebagai Dzu al-Shara. Dia merupakan satu-satunya dewa yang diketahui dengan pasti dipuja di seluruh negeri orang Nabati. Ia dipersekutukan dengan dewa-dewa orang Yunani seperti dewa Zeus dan dewa Dionysus.
Maksud nama dewa ini kurang dapat dipastikan kerana tidak ada takrifan muktamad baginya. John Healey berspekulasi bahawa nama ini bermaksud, "Tuan bagi banjaran gunung Shara[t]." Dewa ini diwakili oleh rupa kiub batu yang berbentuk empat segi. Ia boleh dilihat di seluruh kota tingalan orang Nabati, iaitu kota Petra. Warwick Ball mencatitkan bahawa kemungkinan sekali batu tersebut mempunyai kaitan dengan Kaabah di Mekah. Beliau mengulas lanjut bahawa, konsep abstrak ketuhanan Islam barangkali diimport dari agama orang Nabati ini.
Dewata Lain
Dewi al-Uzza turut dipuja di kerajaan Nabati. Ia dipuja bersama dengan dewa Dzu al-Shara sebagai dewi pertiwi kota Petra. Dewi ini dikatakan mengambil rupa dewi Isis, dewi Tyche dan dewi Afrodit. Beliau dianggap sebagai pelindung kota dan juga pelindung cinta dan keabadian. Walaupun nama dewi di kota Petra itu sama dengan nama dewi di kota Mekah dan lain-lain, namun tidaklah diketahui sama ada wujud kesinambungan antara pemujaan dan identiti dewi-dewi ini.
Dewa al-Qawm atau Shay' al-Qawm yang bermaksud, "Dia yang menemani dan mengepalai kaum" merupakan antara dewa-dewa Nabati lain yang menjadi penunggu kafilah-kafilah. Dewa ini adalah satu-satunya dewa nomad dalam agama orang Nabati. Menurut prasasti Nabati, dewa ini tidak meminum arak.
Dewi Manat, adalah antara dewi yang dikenalpasti sebagai mempunyai persamaan dengan dewi orang Yunani, iaitu dewi Nemesis. Dewi ini dikaitkan dengan takdir dan keadilan. Dalam kerajaan orang Nabati, dewi ini selalu disebut menunggu di Hegra. Namun, tiada sebarang gambaran dibuat mengenainya. Dalam beberapa prasasti lain, dewi ini dikaitkan dengan dewa Dzu al-Shara dalam tindakan menyumpah dan mendenda sesiapa yang melanggari peraturan permakaman dan tidak mengikut peraturan. Dalam dua daripada prasasti yang disebutkan itu, dewi ini dikaitkan pula dengan Qaysha yang menurut kepada pelbagai tafsiran, mungkin merujuk kepada dewata lain atau sejenis bahan.
Dewi al-Lat pun dipuja di kota Petra. Ia dikenalpasti bersamaan dengan dewi Athena dan dewi Tyche. Rupa untuknya mengandungi elemen-elemen manusia dan bongkah batu. Terletak di 'Ayn Shellaleh di al-Rumm bersama dengan prasasti yang menyatakan bahawa ia adalah dewi pelindung kota Bosra. Tiga prasasti menyebut mengenainya di Salkhad. Namun, nama dewi ini tidak ditemui tercatit pun di mana-mana di kota Bosra atau kota Petra. Hanya ditemui sarung buah dada berhalanya sahaja berdekatan dengan Gerbang Petra yang memberi kesaksian mengenai pemujaan dewi ini di ibukota. Sebuah prasasti di Hegra, atas sebuah makam menyebut bahawa dewi ini menyumpah orang yang melanggari peraturan penggunaan kemudahan permakaman.
Dalam prasasti yang sama yang mana dewi al-Lat disebut, disebut pula nama dewa Hubul. Jane Taylor berpendapat bahawa dewa ini mungkin terlibat dalam hal-hal alam ghaib. Hanya di sini yang di luar Selatan Tanah Arab yang menyebut nama dewa yang hampir sama dengan dewa Hubal. Maxime Rodinson mencadangkan bahawa dewa Hubal di kota Mekah mungkin berasal dari dewa Hubul di kerajaan Nabati di utara.
Kota Petra mempunyai banyak tempat-tempat suci yang tinggi. Hal ini, termasuklah para batu yang selalunya ditafsirkan sebagai tempat pengorbanan manusia. Semenjak tahun 160an, teori alternatif mengetengahkan tafsiran bahawa para-para batu tersebut digunakan untuk meletakkan mayat sebagai sebahagian daripada upacara pengebumian. Walau bagaimanapun, masih kurang bukti sejarah yang boleh menyokong teori alternatif ini.